BATU KAWAN: IKEA Malaysia, jenama perabot terkemuka yang sinonim dengan barangan mampu milik, optimis terhadap prospek pertumbuhannya pada 2025 dengan unjuran peningkatan antara lima hingga 10 peratus.
Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Malcolm Pruys berkata, jangkaan pertumbuhan itu disandarkan kepada usaha syarikat dalam memastikan harga produk kekal berpatutan yang telah menjadi keutamaan mereka setiap tahun.
“Walaupun ekonomi dilihat stabil tahun ini, kami yakin 2025 akan membawa perkembangan positif kepada syarikat, dengan unjuran pertumbuhan dalam tempoh 12 bulan akan datang,” katanya.
“IKEA Malaysia juga bertekad untuk terus meningkatkan pengalaman membeli-belah pelanggan dengan memperkenalkan lebih banyak inovasi, selain memperkukuh operasi dalam talian serta di kedai fizikal.
“Strategi ini dijangka akan memperkukuh pertumbuhan syarikat pada masa akan datang,” katanya selepas Majlis Pelancaran ‘IKEA Blueprint 2025’, di sini.
Dalam usaha memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang, IKEA Malaysia juga berhasrat untuk memperluaskan rangkaian produknya, terutama dalam segmen produk mesra alam dan lestari.
“Kami melihat minat yang semakin meningkat terhadap produk berasaskan kelestarian, yang membuka peluang baharu untuk memenuhi permintaan pasaran yang kian dinamik.
“Komitmen berterusan IKEA terhadap inovasi dan kelestarian membolehkan syarikat itu berdepan cabaran masa depan sambil terus menawarkan nilai terbaik kepada pelanggan,” katanya.
Dalam pada itu, Malcolm turut menyentuh mengenai persepsi harga yang sering dibandingkan dengan pesaing lain, sambil menegaskan bahawa IKEA telah lama menyediakan harga baharu lebih rendah menerusi strategi pembelian secara pukal.
“Ramai tidak menyedari bahawa terdapat produk-produk IKEA, di mana harganya dikekalkan sejak 2019, sebelum pandemik Covid-19. Kami juga akan menurunkan harga bagi beberapa produk terpilih tahun depan.
“Kami komited memudahkan kehidupan harian pelanggan, walaupun terdapat tekanan kenaikan kos dalam rantaian bekalan, terutama ketika pandemik. Kami pastikan harga tetap rendah untuk kemudahan pelanggan yang kembali membeli-belah,” ujarnya.
Tambahnya, IKEA Malaysia akan menambah sembilan kenderaan elektrik (EV) kepada rangkaiannya untuk ‘penghantaran jarak terakhir’ menjelang akhir tahun ini, menjadikannya berjumlah 12 EV dalam langkah penting mengurangkan jejak alam sekitar.-UTUSAN










