PETALING JAYA: Gamuda Berhad melalui anak syarikatnya di Australia, DT Infrastructure Pty Ltd., memperoleh projek Ladang Angin Boulder Creek di Queensland, Australia bernilai A$243 juta (RM702 juta) selama 32.5 bulan.
Menurut pemfailan di Bursa Malaysia semalam, ia akan melibatkan pembinaan 38 turbin dengan kapasiti penjanaan keseluruhan 228 megawatt (MW) dan sejajar dengan usaha Queensland mencapai sasaran 50 peratus tenaga elektrik daripada sumber boleh diperbaharui menjelang 2030.
“Pembinaan projek turbin Cypress-146 GE Vernova ini terletak 40 kilometer (km) barat daya Rockhampton merangkumi pembinaan trek akses sepanjang 41 km dan kerja tanah besar sebanyak 700,000 meter padu.
“Projek ini juga melibatkan Aula Energy dan CS Energy, dua syarikat utama yang terlibat dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui di Australia.
“Gamuda mengharapkan projek ini akan memberikan impak positif kepada pendapatan kumpulan pada tahun kewangan yang berakhir 31 Julai 2025,” katanya.
Dalam pada itu, Gamuda dalam kenyataan berbeza kelmarin mengumumkan penurunan keuntungan bersihnya kepada RM912.13 juta dalam tahun kewangan berakhir 31 Julai 2024 daripada RM1.84 bilion pada tahun sebelumnya.
Pendapatannya meningkat kepada RM13.34 bilion berbanding RM8.22 bilion dalam tahun kewangan 2023.
Gamuda berkata, penurunan keuntungan bersih itu disebabkan oleh pengiktirafan keuntungan luar biasa daripada penjualan operasi lebuh raya pada tahun kewangan 2023.
“Tanpa mengambil kira operasi lebuh raya yang telah dihentikan, keuntungan bersih teras daripada perniagaan pembinaan dan hartanah meningkat sebanyak 12 peratus kepada rekod tertinggi RM912 juta daripada RM815 juta tahun lalu.
“Ini didorong oleh pendapatan pembinaan luar negara yang lebih tinggi serta pendapatan dan margin hartanah domestik yang lebih kukuh,” katanya.
Bagi suku keempat , Gamuda mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM272.49 juta berbanding RM251.75 juta dalam suku yang sama tahun sebelumnya, manakala pendapatannya meningkat kepada RM4.72 bilion berbanding RM3.40 bilion pada suku sama tahun sebelum.
“Prestasi pada tahun kewangan semasa ini akan banyak didorong oleh aktiviti pembinaan dalam dan luar negara, termasuk pembinaan beberapa pusat data dan sumbangan yang lebih tinggi daripada pelbagai projek pusing ganti pantas (QTP) dalam bahagian hartanah.
“Ketahanan syarikat disokong oleh buku pesanan pembinaan tertinggi sepanjang masa sebanyak RM25 bilion dan jualan hartanah belum dibilkan sebanyak RM7.7 bilion.
“Syarikat ini mempunyai lembaran imbangan yang sihat dengan nisbah keberhutangan bersih sebanyak 39 peratus, jauh di bawah had keberhutangan sendiri sebanyak 70 peratus,” katanya.-UTUSAN










