PETALING JAYA: Indeks saham penanda aras Malaysia, FBM KLCI mungkin mengalami pembetulan jangka pendek berikutan penilaian yang tinggi selepas lonjakan semula daripada penurunan Ogos lalu, menurut AmBank Research.
Firma penyelidikan itu berkata, pembetulan jangka pendek mungkin disebabkan oleh pelaksanaan projek infrastruktur domestik yang perlahan, pengurangan penggunaan domestik di tengah risiko inflasi dan risiko pemotongan perbelanjaan modal (capex) Petronas dalam sektor minyak dan gas (O&G) berikutan pengambilalihan Petros, syarikat milik negeri, sebagai pengumpul gas tunggal di Sarawak.
“AmBank Research menaikkan sasaran KLCI akhir tahun kepada 1,660 mata disokong oleh gandaan penilaian yang lebih tinggi di tengah ‘liran ekuiti asing yang kukuh dan prospek ringgit yang lebih baik.
“Jangkaan AmBank Research adalah di bawah tahap semasa FBM KLCI yang berada pada 1,668.7 mata, selepas lonjakan yang bermula pada separuh kedua tahun lalu,” katanya dalam nota penyelidikan.
Pada tahap semasa, indeks ini meningkat 14.7 peratus tahun ini.
Firma penyelidikan tersebut telah menaikkan sasaran FBM KLCI akhir 2024 daripada ramalan awal sebanyak 1,635 mata, berasaskan gandaan harga terhadap untung yang lebih tinggi iaitu 15.7 kali, dari 15.2 kali, merujuk kepada ramalan pendapatan 2024.
Gandaan penilaian yang diberikan adalah lebih tinggi daripada median lima tahun KLCI iaitu 14.6 kali nisbah harga-terhadap-untung (PER).
Jelas firma penyelidikan itu, pada tahap semasa, KLCI didagangkan pada 18 kali PER 2024.
“Perlaksanaan projek yang perlahan berlaku di tengah keutamaan kerajaan terhadap kewangan yang berhemat dengan sasaran defisit Belanjawan 2024 yang lebih rendah sebanyak 4.3 peratus berbanding 5 peratus pada 2023.
“Penyelesaian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura juga mungkin ditangguhkan ke tahun depan,” katanya.
Sementara itu, Ambank Research berkata, penilaian semula sektor O&G mungkin ketara kerana ia menyumbang 12 peratus kepada berat KLCI.
Jelasnya, komponen KLCI yang berkaitan dengan Petronas termasuk unit infrastruktur gas Petronas Gas Bhd., pengeluar petrokimia Petronas Chemicals Group Bhd., pedagang bahan api Petronas Dagangan Bhd. dan unit pengangkutan LNG dan petroleum MISC Bhd.
“Risiko penurunan dikurangkan oleh jangkaan kecairan institusi tempatan yang kukuh, di tengah prospek pendapatan korporat yang baik, hasil dividen yang menarik sebanyak empat peratus dan pemilikan asing yang rendah sebanyak 19.6 peratus.
“Malaysia, adalah penerima aliran masuk asing bersih kedua tertinggi di Asean dengan RM3.1 bilion, di belakang Indonesia dengan RM7.1 bilion,” katanya.
Dalam nota tersebut, AmBank Research juga telah mengubah jangkaan akhir tahun ringgit kepada 4.40 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), dari 4.63 sebelum ini.
Menurut data Bloomberg, ringgit terakhir diperdagangkan pada 4.33 berbanding dolar AS.
Antara acara yang perlu diperhatikan termasuk mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS pada 17 dan 18 September untuk melihat jumlah pemotongan kadar faedah AS, serta Bajet 2025 yang akan datang pada akhir Oktober untuk sebarang rasionalisasi subsidi atau rancangan penjanaan hasil kerajaan persekutuan. – UTUSAN










