Edra terima kelulusan bersyarat untuk Stesen Janakuasa Teluk Gong 2 - Utusan Malaysia

Edra terima kelulusan bersyarat untuk Stesen Janakuasa Teluk Gong 2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Edra Power Holdings Sdn Bhd (Edra) melalui anak syarikatnya, Panglima Power Sdn. Bhd. menerima kelulusan bersyarat daripada Suruhanjaya Tenaga pada 23 Julai 2024 untuk lanjutan setahun perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan Tenaga Nasional Bhd. (TNB).

Lanjutan tersebut, berkuat kuasa 15 September 2024, memastikan operasi berterusan Teluk Gong Power Station 2 (TGPS2), stesen kuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) dengan kapasiti 705 megawatt (MW).

TGPS2 yang mula beroperasi pada 2002, akan terus menggunakan turbin gas kelas F yang canggih beraturan dua dalam satu.

Menjelang penjanaannya, stesen janakuasa itu menjalani siri pemeriksaan dan ujian yang komprehensif termasuk penilaian Turbin Gas dan Turbin Stim, ujian Penjana dan Transformer, penentukuran geganti perlindungan dan penjanaan Imbangan Stesen Janakuasa (Balance of Plant).

Presiden dan Pengarah Eksekutif Edra, Zhong Xianjue menyatakan, penjanaan TGPS2 pada Hari Malaysia merupakan detik yang membanggakan bagi pihaknya.

“Sebagai tanda penghormatan pada hari istimewa itu, kami berbesar hati kerana TGPS2 telah berjaya menjalani penjanaan semula dalam hanya 45 hari selepas penutupannya selama 17 bulan berikutan tamat tempoh PPA asal.

“Ini membolehkan Edra terus memenuhi permintaan grid negara yang berkembang pesat dengan kos yang efektif.

Beliau berkata, pelanjutan itu juga membuktikan bahawa industri tenaga Malaysia mempunyai keupayaan untuk mengendalikan stesen janakuasa CCGT dengan andal dan cekap dalam jangka masa panjang.

“la bukan sahaja akan memacu pertumbuhan ekonomi dan memastikan kestabilan bekalan tenaga, tetapi juga memanjangkan jangka hayat operasi stesen janakuasa itu.

“Kami berbangga untuk terus menyokong pembangunan komuniti, industri dan kemajuan keseluruhan negara,” katanya.

Beliau berkata, lanjutan PPA dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan Syarikat dan mengukuhkan kedudukan strategiknya dalam industri tenaga negara. 

“la juga menandakan satu langkah penting bagi Edra dalam menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional Negara (NETR), dengan matlamat mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN