OPR dikekalkan pada 3.0 peratus kali kelapan berturut-turut

OPR dikekalkan pada 3.0 peratus kali kelapan berturut-turut

BANK Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus pada mesyuarat esok. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus pada mesyuarat kelima Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) semalam.

Keputusan mengekalkan kadar penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit itu adalah buat kali kelapan berturut-turut sejak Julai tahun lalu.

Bank pusat itu berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan adalah konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan.

“MPC terus memantau perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian trajektori inflasi dan trajektori pertumbuhan dalam negeri menuju 2025.

“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” katanya dalam kenyataan.

Menurut BNM, ekonomi global terus berkembang berikutan keadaan pasaran pekerja yang berdaya tahan dan pemulihan perdagangan global yang berterusan.

“Pada masa hadapan, pertumbuhan global dijangka berterusan disebabkan keadaan pasaran pekerja yang positif, inflasi terus menurun dan dasar monetari yang kurang ketat.

“Perdagangan global dijangka terus pulih dengan sokongan produk elektrik dan elektronik (E&E) serta produk bukan E&E.

“Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan, disebabkan terutamanya oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, volatiliti dalam pasaran kewangan global dan momentum pertumbuhan yang lebih perlahan di ekonomi-ekonomi utama,” katanya.

BNM berkata, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.1 peratus pada separuh pertama 2024, dan penunjuk terkini mencatatkan kegiatan ekonomi yang terus kukuh, didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan aktiviti eksport yang lebih giat.

“Pada masa hadapan, eksport dijangka terus disokong oleh peningkatan kitaran teknologi global berikutan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor serta eksport barangan bukan E&E yang terus kukuh.

“Perbelanjaan pelancong dijangka terus meningkat. Pertumbuhan guna tenaga dan upah beserta langkah-langkah dasar masih terus menyokong perbelanjaan isi rumah.

“Pengembangan mantap aktiviti pelaburan akan berterusan disebabkan oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional serta lebih banyak pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan,” katanya.

Mengulas mengenai inflasi, BNM berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras berpurata pada 1.8 peratus pada separuh pertama 2024.

Jelasnya, limpahan daripada pelarasan harga diesel kepada harga secara amnya terkawal berikutan keberkesanan langkah-langkah pengurangan dan penguatkuasaan untuk meminimumkan kesan kos kepada perniagaan.

“Bagi seluruh 2024, purata inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka kekal dalam julat yang diunjurkan sebelum ini dan berkemungkinan tidak melebihi tiga peratus.

“Namun, prospek inflasi terus bergantung pada pelaksanaan langkah-langkah dasar dalam negeri yang selanjutnya.

“Risiko kenaikan inflasi akan bergantung pada tahap kesan limpahan langkah-langkah dasar dalam negeri terhadap subsidi dan kawalan harga kepada trend harga yang lebih luas, serta harga komoditi global dan perkembangan pasaran kewangan,” katanya.

Mengenai pemulihan nilai ringgit baru-baru ini, didorong oleh perubahan jangkaan berhubung dengan kadar faedah dasar yang lebih rendah di ekonomi-ekonomi utama, khususnya di Amerika Syarikat, serta prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh.

“Pada masa hadapan, prospek ekonomi Malaysia yang positif, pembaharuan struktur dalam negeri serta inisiatif yang sedia ada untuk menggalakkan aliran akan terus memberikan sokongan yang berterusan kepada ringgit,” katanya.

Kali terakhir BNM menaikkan OPR adalah daripada 2.75 peratus kepada 3.0 peratus pada Mei tahun lalu.

Mesyuarat MPC seterusnya dijadualkan pada 5 dan 6 November ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN