Belanjawan 2025: Beri tumpuan golongan M40 dapatkan rumah mampu milik - Utusan Malaysia

Belanjawan 2025: Beri tumpuan golongan M40 dapatkan rumah mampu milik

MALAYSIA hampir menepati sasaran pembinaan 500,000 rumah mampu milik menjelang akhir 2026. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada golongan M40 yang semakin terpinggir untuk mendapatkan rumah mampu milik dan memberikan beberapa insentif menerusi pembentangan Belanjawan 2025 nanti.

Profesor Kewangan Dan Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Datuk Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, beberapa langkah yang lebih menyeluruh dan inklusif perlu diambil untuk membantu M40 atau golongan pertengahan dalam memiliki rumah.

“Kerajaan boleh mempertimbangkan pengurangan duti setem atau pelepasan cukai bagi pembelian rumah pertama oleh golongan M40.

“Langkah ini dapat mengurangkan kos pembelian awal seterusnya menggalakkan lebih ramai dalam kalangan mereka untuk memiliki rumah sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Selain itu, jelas Nik Maheran, bagi membantu golongan M40, kerajaan disaran memperkenalkan skim pembiayaan perumahan yang lebih fleksibel, seperti tempoh pinjaman yang lebih panjang atau kadar faedah yang lebih rendah untuk golongan M40.

Kata beliau, ini dapat memudahkan mereka memperoleh pembiayaan bagi rumah pertama.

“Skim seperti ini telah diperkenalkan untuk golongan B40, namun ia juga perlu diperluaskan kepada M40,” katanya.

Selain itu, Nik Maheran berkata, salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh golongan M40 adalah kekurangan rumah mampu milik di kawasan bandar yang sesuai dengan status ekonomi mereka.

“Oleh itu, kerajaan perlu mewujudkan dasar untuk menggalakkan pemaju membina lebih banyak rumah mampu milik yang berkualiti di kawasan bandar, yang boleh diakses oleh golongan M40 tanpa perlu berpindah jauh ke pinggir bandar,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pengecualian cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) juga boleh dilaksanakan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2025.

“Cuma ini tidak reallistik kerana ia selalunya dilaksanakan pada waktu ekonomi perlahan seperti tahun 2021 dahulu iaitu sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selain itu, untuk hartanah yang tidak terjual juga boleh diberikan pengecualian duti setem untuk belian rumah pertama.

“Melaksanakan program deposit Madani untuk pembeli muda juga akan menjadi impetus yang baik kepada industri hartanah negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN