AISB sasar perluas pasaran produk  selepas peroleh pensijilan halal

AISB sasar perluas pasaran produk  selepas peroleh pensijilan halal

ATHIFAH Najwani Shahidan menunjukkan antara produk keluaran AISB yang dipasarkan dengan berasaskan buah mempelam harumanis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Athanliz Innovations Sdn. Bhd. (AISB), syarikat pemula daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengorak langkah ke hadapan dalam usaha mengembangkan pasaran produknya dengan mendapatkan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Bagi tujuan itu, AISB dalam proses bagi mendapatkan pensijilan berkenaan buat tiga rangkaian produk keluarannnya seperti nutri kosmetik (Lindifera), makanan dan minuman (Mafera) dan rangkaian teh (Teafa).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Urusan AISB, Dr. Athifah Najwani Shahidan berkata, bagi produk Lindifera, pensijilan halal itu dijangka akan diperoleh dalam masa antara dua hingga tiga bulan lagi memandangkan permohonan telah dibuat sejak tahun lalu.

“Untuk Mafera dan Teafa, beberapa produk sudah disenarai pendek untuk proses permohonan pensijilan halal ini,” katanya, di sini, baru-baru ini.

Untuk rekod, AISB sebelum ini mengorak langkah secara aktif dalam melaksanakan pembangunan dan penyelidikan (R&D) sejak beberapa tahun lalu bagi menghasilkan pelbagai pilihan produk berasaskan buah mempelam harumanis.

Mengulas lanjut, Athifah berkata, pensijilan halal itu adalah penting bagi memudahkan pasaran produknya ke rangkaian runcit di Malaysia dan luar negara malah ia telah menjadi satu kewajipan dalam perniagaan.

“Jika tidak produk itu hanya dapat dipasarkan sekitar perlis sahaja dan tidak berupaya untuk berkembang secara meluas,” katanya. 

Dalam pada itu, Athifah berkata, buat masa ini, AISB sedang fokus bagi menghasilkan pengeluaran manisan seperti gummy dan marshmallow berasaskan buah mempelam harumanis susulan terdapat banyak permintaan di pasaran global.

Ujarnya, pihaknya juga sedang berusaha mengembangkan produk hiliran lain dengan berunsurkan kulit, biji dan daun buah mempelam harumanis.

“Buat masa ini, AISB telah berjaya memasarkan semua produk keluaran syarikat ke pasaran antarabangsa di Dubai melalui rakan strategik Khalifah World Global Sdn. Bhd. 

“Malah, enam usahawan Perlis juga berjaya membawa masuk produk mereka ke pasaran Dubai melalui khidmat bimbingan disediakan oleh AISB,” katanya.

Tambahnya, produk Lindifera buat masa ini juga telah dipasarkan di tujuh cawangan rangkaian pasaraya terkemuka di negara ini, manakala Mafera pula telah memasuki rangkaian peruncitan dan Teafa akan dilancarkan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024.

“Untuk produk di bawah Lindifera, kita sedang dalam proses penjenamaan semula dengan pembungkusan baharu dan penambahbaikan formula,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN