JIKA dahulu rumah mampu milik hanya dilengkapi dengan kemudahan asas seperti surau dan taman rekreasi, kini rumah mampu milik tidak kurang hebatnya kerana kebanyakannya dilengkapi kolam renang, tempat barbeku, gim, dewan serbaguna dan trek joging.
Kejayaan pemaju dalam menyediakan perumahan mampu milik dengan fasiliti kondominium mewah membuktikan bahawa konsep ini tidak lagi sekadar menawarkan tempat tinggal, sebaliknya ia turut menyediakan gaya hidup berkualiti tinggi yang sebelum ini hanya boleh dinikmati oleh penghuni kediaman mewah.
Pengarah Urusan Kumpulan, Radium Development Berhad, Datuk Gary Gan berkata, rumah mampu milik yang menawarkan fasiliti dan keterjangkauan yang baik kini menjadi pilihan utama pembeli, sama ada individu atau sudah berkeluarga.
Ujarnya, fasiliti yang semakin baik dalam segmen perumahan mampu milik memberikan transformasi yang besar dalam segmen hartanah khususnya di Lembah Klang.
“Penyediaan rumah mampu milik di kawasan bandar seperti Lembah Klang adalah amat penting kerana ia mampu menawarkan keselesaan yang lebih baik kepada penghuni, terutamanya bagi mereka yang ingin tinggal berhampiran dengan tempat kerja dan kemudahan asas.
“Selain daripada fasiliti yang semakin lengkap, keterjangkauan juga menjadikan perumahan mampu milik ketika ini semakin menjadi rebutan ramai kerana lebih dekat dengan kebanyakkan sekarang berada di lokasi-lokasi yang strategik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas beliau, Radium turut menjadikan perumahan rumah mampu milik yang berkualiti sebagai visi jangka panjang dalam memberikan peluang memiliki rumah kepada semua golongan di Malaysia.
“Kami menawarkan melalui projek Vista Adesa, sebanyak 1,218 unit di bawah skim rumah mampu milik Residensi Wilayah (RUMAWIP), dan berharga RM300,000 seunit.
“Dari segi kesediaan fasiliti, pembangunan boleh dianggap berbeza berbanding apa yang biasa ditawarkan di RUMAWIP. Selain surau, dewan serbaguna, taman permainan, bilik tadika dan padang terbuka dan landskap, Vista Adesa menampilkan kemudahan kondominium penuh yang lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan IM Global Property Consultants Sdn. Bhd., PMgr Sr Ishak Ismail berkata, pembangunan perumahan dengan kemudahan awam dan infrastruktur yang baik akan mendorong kepada pengembangan kawasan serta pembangunan perumahan yang lebih pelbagai.
Ujarnya, ini secara tidak langsung menggalakkan perancangan bandar yang inklusif dan berdaya huni.
“Perumahan mampu milik dengan fasiliti yang setanding kondominium boleh meningkatkan kualiti hidup penghuni.
“Menyediakan akses kepada kemudahan yang lebih baik, perumahan sebegini menawarkan alternatif yang lebih baik berbanding kawasan setinggan dan kawasan berpendapatan rendah.
“Malah, perumahan mampu milik yang dilengkapi dengan fasiliti moden turut membawa kesan positif kepada aspek sosial dan ekonomi dan secara tidak langsung menempatkan pelbagai latar belakang sosial dan ekonomi di kawasan yang sama dapat membantu mewujudkan masyarakat yang lebih bersifat majmuk dan berintegrasi,” katanya.
Namun begitu, beliau berkata, cabaran tetap wujud dalam memastikan perumahan mampu milik ini diuruskan dengan baik.
“Sekiranya pengurusan dan penyelenggaraan tidak dilakukan secara teliti, ia boleh membawa kepada kemerosotan kualiti hidup penghuni di kawasan itu.
“Kualiti pembinaan perlu dipantau rapi bagi mengelakkan risiko kegagalan perkhidmatan penyampaian. Oleh itu, penambahbaikan perlu dilakukan dalam penyampaian perkhidmatan awam seperti pengangkutan, pendidikan, dan kesihatan bagi menyokong peningkatan jumlah penduduk di kawasan tersebut.
“Dengan pendekatan yang betul, transformasi perumahan bandar melalui projek-projek ini bukan sahaja dapat menawarkan fasiliti setanding kondominium pada harga mampu milik, tetapi juga mewujudkan persekitaran hidup yang lebih sejahtera dan inklusif,” jelasnya.-UTUSAN










