PETALING JAYA: Mikayla, jenama produk makanan sejuk beku milik bumiputera iaitu ATZ Maju Enterprise kini lebih dikenali di pasaran tempatan selepas memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2021.
Menurut pengasasnya, Wan Rohaizati Wan Nawang berkata, sijil halal ini telah membantu produk Mikayla dalam menambahkan keyakinan bakal pembeli mereka mengenai kesucian dan kebersihannya.
“Pelanggan kami dapat membeli produk Mikayla dengan penuh keyakinan bahawa ia mematuhi semua piawaian kebersihan dan keselamatan yang ditetapkan oleh Jakim sendiri.
“Produk makanan sejuk beku Mikayla ini termasuk pelbagai jenis seperti popia karbonara cheese (terlaris), popia sayur, karipap ikan (Temosa), karipap sardin, karipap kentang, samosa dan Mini Chicken Chop. Semua ini hanyalah berharga dari RM7.00 hingga RM25.00 sahaja.
“Kesemua produk ini dihasilkan di premis perniagaan Mikayla Delicious. Bahan mentah yang digunakan dari bahan-bahan berkualiti tinggi dan melalui proses pengeluaran yang ketat bagi memastikan kebersihan dan kualiti produk,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, produk sejuk beku Mikayla itu boleh didapati di pasaraya di sekitar Lembah Klang, Melaka dan Negeri Sembilan.
“Produk makanan ini sudah memasuki beberapa pasar raya seperti di Lesong Mart, Big Boss Mart, Dessert Corner, Blue Forest Grocer, Seniman Pauh Frozen Food, Kedai Rakyat Maiwp dan KR Ta Bena Wholesale Market.
“Kami juga mempunyai perancangan untuk memasuki pasar raya yang lebih besar pada masa akan datang kerana sudah memiliki pensijilan itu,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Rohaizati turut mengajak usahawan bumiputera lain untuk mendapatkan sijil halal bagi produk mereka.
“Sijil halal adalah satu pengiktirafan yang penting dan ia benar-benar boleh membantu dalam meningkatkan keyakinan pelanggan serta membuka lebih banyak peluang perniagaan.
“Sijil ini bukan sekadar simbol, namun ia adalah bukti kita komited terhadap kualiti dan kesucian produk dan boleh menjadi satu kelebihan yang membezakan produk kita daripada yang lain serta membuka pintu kepada pasaran yang lebih luas.
“Jangan takut untuk mengambil langkah ini. Ia mungkin kelihatan rumit tetapi sebenarnya ia tidak seperti yang difikirkan,” katanya.-UTUSAN










