KUALA LUMPUR: Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) melancarkan inisiatif HALAL Accreditation & Technology Improvement (HATI) dengan dana khas RM100 juta untuk memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.
HATI menyediakan penyelesaian pembiayaan yang disesuaikan untuk PKS, termasuk kadar dari empat peratus hingga 6.5 peratus setahun dan pembiayaan sehingga RM100 juta untuk aktiviti seperti pensijilan halal, pengubahsuaian premis, pembelian mesin, latihan, penjenamaan dan pembungkusan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Inisiatif HATI RM100 juta MIDF adalah bukti komitmen Kerangka Ekonomi Madani dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) untuk memastikan keterangkuman PKS bagi menembusi pasaran halal global.
“Usaha ini dijangka mencapai AS$5 trilion (RM23.38 trilion) menjelang 2030.
“Program HATI akan sedikit sebanyak membantu syarikat PKS mengeksport produk mereka ke pasaran global,” katanya kepada pemberita selepas tersebut di sini, semalam.
Katanya, melalui perkongsian strategik dan penyelesaian pembiayaan yang disesuaikan itu, HATI akan memperkasa PKS untuk mencapai pensijilan halal dan meningkatkan keupayaan mereka.
“Ini juga sekali gus menyokong kedudukan berterusan MITI dalam menjadikan Malaysia sebagai hab global untuk kecemerlangan halal,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDF, Azizi Mustafa berkata, MIDF menyasarkan sebanyak 20 syarikat akan menerima peruntukan sebanyak RM20 juta menjelang akhir tahun ini.
“Jika, ada keperluan berkemungkinan pihak MIDF akan mempertimbangkan untuk meningkatkan peruntukan sedia ada.
“HATI juga menawarkan bimbingan, latihan dan bengkel untuk membimbing PKS melalui proses pensijilan halal, memastikan kepatuhan kepada piawaian global dengan bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC).
“HATI turut memanfaatkan perkongsian dengan HDC, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pemegang kepentingan lain untuk menyediakan sokongan menyeluruh dari penilaian awal hingga pensijilan dan peningkatan berterusan,” katanya.-UTUSAN










