Nusukopi ubah nasib pelajar asnaf UMK, raih jualan RM20,000

Nusukopi ubah nasib pelajar asnaf UMK, raih jualan RM20,000

ARHAM Abdullah (tujuh kiri) semasa merasmikan Nusukopi di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/ROSMIZAN RESDI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Program keusahawanan kafe melalui projek Nusukopi berjaya mengubah nasib pelajar asnaf di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) apabila projek perintis itu merekodkan jualan melebihi RM20,000 dengan keuntungan bersih kira-kira RM10,000 dalam tempoh enam bulan.

Naib Canselornya, Datuk Dr. Arham Abdullah berkata, ia bukan sahaja membolehkan pelajar menjana pendapatan sampingan sepanjang tempoh pengajian, malah mengubah pendekatan bantuan asnaf daripada pemberian tunai kepada penyediaan platform perniagaan yang mampan.

Katanya, seramai 20 pelajar asnaf dipilih menyertai program yang menggunakan pendekatan pembelajaran sebenar dan pendedahan secara langsung menerusi sokongan dana oleh Maybank Islamic berjumlah RM277,000 bagi membiayai operasi dan latihan peserta.

“Melalui program ini, pelajar bukan sahaja mempelajari kemahiran penyediaan makanan dan minuman, malah turut didedahkan kepada aspek pengurusan perniagaan termasuk rantaian bekalan, pembelian bahan mentah serta operasi harian kafe,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kafe Nusukopi Program Pemerkasaan Usahawan Asnaf Maybank Islamic Berhad x UMK di UMK Kampus Kota di sini hari ini.

Arham memberitahu, inisiatif berimpak tinggi itu mengubah kaedah bantuan asnaf daripada pemberian tunai semata-mata kepada penyediaan platform perniagaan yang mampan.

Katanya, lebih 70 peratus atau hampir 10,000 pelajar daripada tiga kampus UMK di Pengkalan Chepa, Jeli dan Bachok terdiri daripada golongan asnaf.

“Sistem ganjaran komprehensif turut diperkenalkan bagi memotivasikan peserta menerusi dua kaedah utama, iaitu pemberian elaun harian khusus serta skim perkongsian keuntungan (profit sharing),” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN