PETALING JAYA: Rakyat Malaysia digesa mengamalkan budaya hidup sihat dan berdikari bagi memastikan mereka mampu mengharungi fasa negara menua.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kesedaran itu penting memandangkan jangka hayat penduduk negara kini semakin panjang.
“Anak-anak kita mungkin sibuk dengan keluarga dan kerjaya masing-masing. Sekarang kita lebih lama hidup kerana jangka hayat panjang.
“Jadi kita mesti berdikari dan hidup mesti sihat,” katanya ketika merasmikan program larian santai Cheras Family Run 2026 di ibu negara, hari ini.
Wan Azizah berkata, masyarakat bandar juga perlu sentiasa memupuk keharmonian dan saling menjaga kebajikan antara satu sama lain.
Beliau berkata, kemakmuran negara perlu dikongsi bersama secara saksama tanpa membiarkan golongan miskin terus tercicir.
Sementara itu, wakil Pegawai Penerangan Daerah Bandar Tun Razak, Syaiful Harif Adnan berkata, program berkenaan turut dimanfaatkan dengan pengisian slot advokasi keselamatan digital oleh Jabatan Penerangan (JaPen) daerah bagi mengekang kes penipuan dalam talian.
Beliau berkata, setakat ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menurunkan kira-kira 345,000 hantaran di media sosial berkaitan aktiviti penipuan atau scam.
“Ini termasuk scam dalam talian berkenaan pekerjaan atau aktiviti perjudian dan buli siber kanak-kanak,” katanya. – UTUSAN










