IPOH: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming tidak mahu mengulas mengenai desakan supaya beliau meletakkan jawatan selepas Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam.
Beliau berkata, tumpuannya ketika ini adalah untuk membantu mangsa yang terjejas akibat bencana selain memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian.
“Komitmen saya ialah untuk terus berkhidmat kepada rakyat. Hati saya benar-benar bersama rakyat. Saya dapat merasai kesakitan dan kesusahan mereka.
“Saya kekal komited untuk bekerja, berkhidmat dan berjasa kepada rakyat. Ini adalah komitmen saya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Pemberian Wang Ehsan Bencana Ribut Bercham di Kampung Bercham di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Kor Ming yang juga Timbalan Pengerusi DAP dilapor berkata akan menjadi individu pertama meletakkan jawatan jika BN menang dalam PRN Johor dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan.
PRN Johor semalam menyaksikan BN menang 48 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sementara itu, Kor Ming berkata, kerajaan menyalurkan Bantuan Wang Ehsan Bencana berjumlah RM1 juta kepada 554 keluarga yang terjejas akibat kejadian ribut di Bercham di sini.
Menurutnya, bantuan itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam memastikan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum atau latar belakang terus diberi perhatian.
“Ini tanda keprihatinan Kerajaan MADANI yang menjaga rakyat dan fokus kepada keselamatan rakyat.
“Usaha murni sedemikian patut kita berikan fokus dan juga keprihatinan,” katanya. – UTUSAN










