Rumah pintar perlu ada sistem sokongan

Rumah pintar perlu ada sistem sokongan

SISTEM sokongan penting untuk menjamin keselamatan pengguna dan kelangsungan penggunaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam keghairahan untuk menikmati kemudahan yang ditawarkan melalui rumah pintar, perlu dipastikan sistem aplikasi mempunyai sistem sokongan yang mudah dari segi penyelenggaraan dan boleh ditulis ganti (overwritten) secara manual sekiranya berlaku kerosakan atau gangguan tenaga elektrik atau internet.

Ini bertujuan untuk menjamin keselamatan pengguna dan kelangsungan penggunaan.

Arkitek bertauliah merangkap Pengarah VERITAS Design Group, Ar Azril Amir Jaafar berkata, sepertimana keselesaan lain yang dapat dinikmati dalam kehidupan moden ini, kita tidak boleh lari daripada berhadapan dengan konsep rumah pintar. 

“Ini merupakan sebahagian dari inovasi kehidupan yang bertujuan untuk memudahkan kehidupan manusia. 

“Dari sudut positif, inovasi dalam rumah pintar seharusnya menjadikan kehidupan manusia lebih cekap, pantas, selamat dan menyumbang kepada penggunaan tenaga yang lebih cekap dan mengurangkan kesan buruk kepada alam sekitar dan bumi kita,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Jelas Azril, bagi mengaplikasikan secara skala besar untuk sesuatu projek perumahan, ciri-ciri rumah pintar yang sesuai disediakan oleh pemaju adalah meliputi sistem sekuriti seperti biometrik, sistem pendingin hawa pintar serta sistem lampu yang menggunakan sensor. 

“Dari segi sebuah perbandaran pula, ciri rumah pintar ini boleh diaplikasikan dari segi sensor untuk mengesan bencana alam seperti banjir, pengawalan trafik dan sebagainya,” katanya.

Menurut beliau, penggunaan peranti ataupun AI merupakan sebahagian daripada konsep rumah pintar. 

“Ia merupakan ciri-ciri dan terminologi tambahan kepada konsep rumah pintar yang dipercayai dimulakan pada sekitar pertengahan 70-an selari dengan perkembangan teknologi komputer pada masa itu. 

“Ini bermula dengan protokol komunikasi terhad di antara peralatan rumah yang dikawal satu modul kawalan,” katanya. 

Mengulas lanjut, Azril Amir berkata, rumah pintar ini sesuai untuk semua jenis kediaman sama ada bertanah mahupun bertingkat. 

“Namun demikian, kadar kecanggihannya bergantung kepada kos jualan untuk sesuatu unit itu. Ia boleh dipasarkan sebagai ciri-ciri nilai tambah untuk sesuatu skim kediaman,” katanya. 

Jelas beliau, kesediaan pemaju dalam mengintegrasikan sistem rumah pintar di dalam skim perumahan mereka masih lagi di tahap minimum.

“Justeru, kerajaan perlu menggalakkan perkembangan teknologi ini dari beberapa aspek contohnya perancangan sesuatu perbandaran yang melibatkan data besar untuk merancang kemudahan awam, utiliti, pengangkutan awam dengan lebih berkesan. 

“Skala unit perumahan pula perlu digalakkan kepada pengguna supaya kehidupan masyarakat lebih efisien dan selesa. 

“Melalui penggunaan dan galakan yang lebih meluas  akan mencetuskan inovasi yang berterusan dalam bidang ini dan mewujudkan satu industri yang boleh dieksport ke negara lain,” katanya. 

Sementara itu, seorang pembeli, Angelin Vethanayagam, 27, berkata, beliau memilih untuk membeli rumah pertama berkonsepkan rumah pintar Seri Pajam Development di Seremban 2 kerana tertarik dengan ciri keselamatan dan kemudahan yang ditawarkan.

“Saya juga melihat rumah seperti ini mempunyai kawalan yang lebih besar terhadap penjimatan tenaga. Selain itu, sebagai pembeli, kita boleh mengubahsuai peranti sekiranya perlu.

“Oleh itu, saya berharap pemaju akan mewujudkan lebih banyak peralatan pintar di rumah untuk menjadikan hidup lebih mudah dan harganya juga perlu berpatutan supaya lebih ramai pembeli dapat memiliki rumah pintar selepas ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×