PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan perkhidmatan bayaran dam dan korban melalui aplikasi THiJARI untuk musim haji tahun ini seperti tahun-tahun sebelumnya, bagi memudahkan bakal jemaah haji negara untuk melunaskan tanggungjawab.
Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata, bakal haji bagi musim 1445H/2024 boleh membuat pembayaran dam sebelum ke tanah suci Mekah.
“Bertepatan dengan keputusan Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji, bakal haji tahun ini yang akan melaksanakan ibadah haji secara Tamattu’ dan Qiran digalakkan untuk melaksanakan bayaran dam pada kadar semasa yang ditentukan sebelum sampai di tanah suci kerana ia lebih mudah.
“Sebagai penyedia perkhidmatan pengurusan haji yang menyeluruh, tahun ini TH terus menyediakan kemudahan perkhidmatan bayaran dam dan korban melalui aplikasi THiJARI dan juga melalui kaunter pejabat cawangan di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, kaedah pembayaran secara atas talian ketika di tanah air pastinya dapat membantu memudahkan lagi bakal haji berbanding ketika tiba di Mekah nanti.
Jelasnya, pembayaran dam tahun ini ditetapkan pada kadar RM725 bagi seekor kambing atau kibas dan daging sembelihan ini akan diagihkan kepada penduduk yang layak di Mekah.
Sementara itu, kadar pembayaran korban pula ditetapkan pada RM936 untuk seekor kambing atau kibas dan urusan pengagihan akan dilaksanakan oleh Islamic Development Bank (IDB) kepada penduduk Islam yang layak terutamanya di rantau negara teluk dan benua Afrika.
Tawaran pelaksanaan korban ini turut dibuka kepada semua pendeposit TH.
Pembayaran dam dan korban ini boleh dilaksanakan melalui aplikasi THiJARI bermula sejak 29 April 2024 ataupun secara bersemuka melalui pembayaran di mana-mana kaunter pejabat cawangan TH di seluruh negara.
Dalam pada itu, Mohamed Ameen turut mengingatkan kepada semua bakal haji agar berwaspada dengan sebarang tawaran pembayaran dam yang mencurigakan daripada agensi pelancongan ataupun mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan.
“TH berasa bertanggungjawab untuk mengingatkan kepada para pendeposit terutamanya bakal-bakal haji untuk menyemak dan memeriksa terlebih dahulu sebarang syarikat penyedia perkhidmatan korban atau dam secara teliti bagi mengelakkan dari terpedaya dengan taktik penipuan (scammer).
“Sekiranya bakal haji ingin laksanakan korban atau dam dengan sendirinya, dinasihatkan supaya bakal haji memastikan syarikat yang menawarkan perkhidmatan tersebut berdaftar secara sah dan mempunyai pengalaman serta rekod pengurusan pelaksanaan dam dan korban yang baik di tanah suci,” katanya.-UTUSAN









