BATU GAJAH: Smart Paints Manufacturing Sdn. Bhd. (Smart Paints) melancarkan secara rasmi kilang baharu di Perak untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran sehingga tiga kali ganda.
Pengarah Urusan Smart Paints, Goh Chye Hin berkata, kilang di Kawasan Perindustrian Bemban, Batu Gajah itu mampu mengeluarkan cat tiga kali ganda berbanding kilang di Johor.
“Kilang ini memang dibina untuk menghasilkan 27 juta liter cat hiasan dan perlindungan dalam setahun berbanding kilang di Johor yang mengeluarkan 8.7 juta liter cat setahun.
“Buat masa sekarang, kilang di sini akan mengeluarkan cat air sahaja berbanding kilang di Johor yang mengeluarkan cat minyak, cat air dan juga proses Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) juga di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Majlis Perasmian Pembukaan Kilang Baharu Smart Paints di Kawasan Perindusrian Bemban di sini hari ini yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurutnya, Smart Paints di sini akan mula beroperasi secara penuh pada suku kedua tahun ini.
“Kita sudah memulakan pengeluaran tetapi bukan dengan skala penuh. Pada suku kedua tahun ini dalam bulan Jun atau Julai, kita akan beroperasi secara penuh.
“Kilang ini menggunakan sistem automatik secara penuh. Kita menggunakan sistem skala yang lebih cekap dan berkesan sehingga dapat memproduksi produk tiga kali ganda berbanding di Johor,” katanya.
Menurut Chye Hin, sebanyak 67 sensor dipasang pada mesin produksi dan dikawal melalui Bilik Kawalan yang akan dipantau oleh jurutera.
“Kilang baharu ini, merangkumi 95,170 kaki persegi, direka dengan teliti untuk mengoptimumkan proses pembuatan dan meningkatkan kecekapan operasi.
“Lokasi strategik kilang di Perak akan memudahkan peningkatan bekalan kepada pelanggan syarikat di kawasan Pantai Barat dan utara Semenanjung kerana lokasinya yang strategik,” katanya. – UTUSAN







