Lapan mitos hartanah yang sering disangka benar

Lapan mitos hartanah yang sering disangka benar

TIDAK semua rumah dalam pembinaan mendapat sambutan sekianya mahu dijual semua terutamanya pembangunan di kawasan yang pramatang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK dinafikan, sering kali kita mendengar pelbagai perkara mengenai pasaran hartanah yang boleh mempengaruhi pendirian kita untuk memiliki hartanah.

Namun, adakah anda tahu perkara yang disebarkan itu sememangnya benar atau hanya sekadar ‘mitos’ yang tidak mempunyai asas.

Disebabkan mitos yang ber­tebaran dalam kalangan masyarakat mengenai hartanah, ada juga yang akhirnya ‘menjerat’ pembeli kerana tidak mendapat pendedahan yang lebih tepat dan sebagainya.

Dalam ruangan Panduan minggu ini, mari kenali lapan mitos hartanah yang disenaraikan oleh pelabur hartanah lelong, Muhammad Ihsan Zainal Abidin.

PASARAN HARTANAH TIDAK AKAN JATUH

Perkara ini yang paling banyak kita dengar tidak kiralah daripada golongan muda atau yang lebih berpengalaman. Sekiranya anda juga berfikir seperti ini, sebenarnya anda silap.

Ini kerana terdapat banyak juga lokasi hartanah yang tidak strategik dan terdapat kesilapan dari segi pelan lokasi, susun atur infrastruktur dan kualiti pembinaan yang akhirnya menjadikan hartanah di lokasi tersebut kurang bernilai.

Ada juga hartanah yang terletak di lokasi banyak berlaku kejadian jenayah dan kurang kawalan keselamatan sekali gus memberi kesan yang sangat merugikan kepada pemilik.

PEMBIAYAAN RUMAH PERTAMA PASTI 100 PERATUS ATAU 90 PERATUS

Ada juga yang mengatakan untuk pembelian rumah pertama, kita pasti akan dapat pembiayaan perumahan penuh atau 90 peratus.

Namun, ramai dalam kalangan rakan-rakan saya yang hanya dapat pembiayaan 85 peratus atau 80 peratus sahaja. Jadi, jangan yakin yang anda boleh mendapat pembiayaan penuh atau hanya perlu keluarkan 10 peratus deposit sahaja ketika membeli rumah.

Anda perlu sentiasa menyediakan deposit lebih-lebih lagi menerusi pembelian rumah lelong.

RUMAH PASTI BOLEH JUAL

Perlu diingat, tidak semua rumah belum siap dibina (undercon) mendapat sambutan sekiranya mahu dijual semula apabila siap nanti. Banyak perkara yang mempengaruhi sambutan pembelian dan sebagainya.

Tengok sahajalah projek perumahan di kawasan yang pra matang, banyak sahaja unit yang tidak terjual malah untuk disewa pun tidak laku.

JANA PENDAPATAN DENGAN RUMAH MURAH

Ramai juga yang membeli hartanah di kawasan rumah kos rendah dengan harapan dapat menjana pendapatan sampingan menerusi sewaan.

Tetapi, harus diingat apabila bercakap mengenai rumah kos rendah, bukan kita sahaja yang akan menawarkan unit untuk disewa, mungkin ramai lagi yang berlumba-lumba menetapkan harga murah untuk mendapatkan penyewa.

Silap-silap, harga sewaan yang sepatutnya memberikan pendapatan sampingan itu akhirnya menyamai bayaran ansuran bulanan kepada pihak bank.

RUMAH LELONG JAUH LEBIH MURAH DARI HARGA PASARAN

Sebenarnya banyak juga kes di mana rumah lelong itu terjual melebihi harga pasaran. Ini kerana ketika proses bidaan, terdapat lebih 30 orang yang mahu membida rumah tersebut.

Jadi, ketika melawan harga dalam proses bidaan, nilai hartanah tersebut boleh jadi jauh lebih tinggi berbanding harga sebenar. Itu belum lagi termasuk kos baik pulih dan cukai-cukai tertunggak rumah lelong tersebut. Akhirnya pembeli yang menanggung rugi.

BELI RUMAH SUBSALE LEBIH SELAMAT

Ramai beranggapan apabila kita membeli rumah subsale lebih selamat dan tidak berisiko kerana kita dapat menilai sendiri kawasan perumahan dan keadaan rumah tersebut sebelum buat pembelian.

Akan tetapi, banyak terjadi kes pembeli tertipu dengan pemilik rumah subsale tersebut antaranya pemilik ubah fikiran dan tidak mahu menjual rumahnya setelah menerima wang deposit.

Kemudian, deposit pula tidak dipulangkan sekali gus mendatangkan masalah kepada pembeli. Jadi, dalam urusan pembelian rumah subsale adalah lebih baik sekiranya anda berurusan dengan ejen berdaftar bagi mengelakkan masalah di kemudian hari.

PERMOHONAN PEMBIAYAAN AMAT MUDAH

Sekiranya pada awal anda membuat kiraan kelayakan untuk mengetahui jumlah maksimum pembiayaan bank yang boleh anda dapat, kalau boleh jangan terus percaya bank akan memberikan pembiayaan mengikut jumlah tersebut.

Kadang-kala jika mengikut dokumen seperti slip gaji dan sebagainya mungkin anda lihat mudah untuk mendapatkan pembiayaan kerana tiada komitmen yang tinggi, namun apabila laporan CCRIS dikeluarkan, rupanya semakan awal anda terlupa untuk memasukkan maklumat pembiayaan lain yang masih belum habis bayar antaranya kad kredit dan PTPTN.

LOT BUMIPUTERA SATU KELEBIHAN

Tidak semua lot bumiputera menjadi rebutan dan merupakan satu kelebihan kepada golongan bumiputera terutamanya masyarakat Melayu.

Ini kerana ada juga lot bumiputera yang agak tidak menarik kerana berhadapan loji, terletak di simpang, menghadap bukit yang menghalang siaran televisyen dan sebagainya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN