PETALING JAYA: Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilihat salah satu kaedah percukaian terbaik dan perlu diperkenalkan semula kerana ia merupakan satu cukai yang komprehensif.
Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains İslam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berpendapat, bagaimanapun, kadar cukai yang ingin diperkenalkan perlu mengambil kira sentimen kepada pasaran ekonomi Malaysia terhadap pengenalan GST ini.
“Saya berpandangan supaya kadar GST yang ingin diperkenalkan tidak terlalu tinggi seperti tahun sebelum ini.
“Hal ini kerana, supaya pengeluar, syarikat dan penjual dapat melaksanakan GST ini secara efektif dan terancang serta tidak memberi kesan kenaikan yang besar kepada harga penawaran barangan dan perkhidmatan dalam negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut Mohd. Faisol, sekiranya GST dapat dilaksanakan semula maka, pembeli dapat melalui proses ini secara biasa tanpa perlu kepada situasi panik dan tekanan kewangan oleh isi rumah.
“GST yang diperkenalkan oleh Malaysia sebelum ini pada kadar enam peratus adalah agak tinggi kerana kemungkinan pengeluar, syarikat dan penjual masih belum bersedia sepenuhnya dengan pengenalan cukai ini.
“Oleh itu, kadar GST ini perlu diperkenalkan dengan kadar yang rendah iaitu mungkin sekitar tigs peratus dahulu sebelum ia dinaikkan secara berperingkat dalam suatu tempoh tertentu setelah pelaksanaan cukai ini telah mula berjalan dengan sempurna di kalangan pengeluar, syarikat dan penjual serta pengguna,” katanya.
Sementara itu, Ketua ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pelaksanaan semula cukai itu perlu dibincang dengan lebih teliti dan mengambil kira pandangan semua pihak.
“Sesi libat urus yang komprehensif seharusnya dapat membantu dalam mendapatkan pandangan yang seimbang terutama dikalangan para peniaga dan pakar percukaian,” katanya.
Kelmarin, Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) menyarankan supaya GST diperkenalkan semula sebagai langkah terbaik untuk meningkatkan hasil kerajaan.
Presiden NCCIM, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, GST bersifat menyeluruh untuk semua pihak berbanding pengenalan pelbagai cukai baharu ketika ini yang hanya tertumpu kepada beberapa golongan.
Beliau berkata, NCCIM yang juga gabungan lima dewan perniagaan iaitu Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) turut bersetuju GST 2.0 perlu diperkenalkan pada kadar empat peratus.
Katanya, langkah kerajaan memperkenalkan pelbagai cukai baharu bagi menampung pendapatan kerajaan yang pada akhirnya memberikan tekanan kepada perniagaan, justeru wajar mempunyai pandangan politik yang jelas dengan memperkenalkan semula GST. – UTUSAN









