KUALA LUMPUR: Pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bukan menjadi keutamaan kerajaan buat masa ini, sebaliknya lebih fokus terhadap keperluan untuk memastikan kestabilan ekonomi dan kesiapsiagaan sistem percukaian negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah berkata, GST diakui sebagai sistem percukaian yang menyeluruh dan lebih telus berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), namun pelaksanaannya memerlukan masa, persiapan teknikal dan sokongan daripada sektor perniagaan serta rakyat.
“GST merupakan sistem berkualiti yang membenarkan penyumbangan sepenuhnya kepada hasil negara.
“Namun begitu, pelaksanaannya bukan sahaja kompleks, malah menuntut persiapan rapi dari segi sistem dan latihan,” katanya dalam Fireside Chat: Malaysia: Ketahanan Makro, Penyatuan Fiskal sempena Persidangan Invest ASEAN- Malaysia 2025 di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta persidangan mengenai pelaksanaan GST yang dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed.
Amir Hamzah yang turut menjalankan tugas Menteri Ekonomi itu berkata, sejak pemansuhan GST pada 2018, kebanyakan syarikat tidak lagi mempunyai sistem dalaman yang sesuai untuk cukai tersebut.
Katanya, sebarang usaha untuk mengembalikan GST dijangka mengambil sekurang-kurangnya dua tahun bagi pembangunan infrastruktur dan pematuhan teknikal.
“Negara tidak mampu menanggung risiko kehilangan hasil atau gangguan fiskal jika GST dilaksanakan secara tergesa-gesa.
“Fokus kami kini adalah memperkukuh keupayaan syarikat dan meningkatkan prestasi ekonomi terlebih dahulu,” katanya.
Mengulas mengenai RON95, Amir Hamzah berkata, subsidi diesel telah distruktur semula bagi menyokong kumpulan sasar seperti individu berpendapatan rendah dan sektor industri tertentu
“Sebagai contoh, matlamat utama kami dalam pelaksanaan subsidi diesel adalah untuk memastikan golongan yang benar-benar memerlukan menerima perlindungan sewajarnya.
“Contohnya, kami menyediakan pemindahan tunai langsung sebanyak RM200 sebulan kepada individu yang layak berdasarkan kriteria pendapatan dan tidak memiliki kenderaan mewah,” katanya. – UTUSAN










