FBM KLCI dijangka capai 1,700 mata akhir tahun ini - Utusan Malaysia

FBM KLCI dijangka capai 1,700 mata akhir tahun ini

INDEK FBM KLCI Bursa Malaysia kembali ke paras 1,600 mata di akhir dagangan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks penanda aras Bursa Malaysia, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka mampu mencapai sehingga 1,700 mata menjelang akhir tahun ini, sekiranya momentum positif ketika ini dapat dikekalkan, kata penganalisis.

Pada pukul 9.35 pagi semalam, indeks FBM KLCI mencatatkan dagangan tertinggi pada sebelah pagi kepada 1,632.79 mata berbanding 1,622.09 mata ketika ditutup pada Selasa.

Indeks barometer itu dibuka 1.43 mata lebih rendah kepada 1,620.66 dan di akhir dagangan meningkat 7.09 mata kepada 1629.18.

Dari awal tahun sehingga artikel 4.29 petang semalam, FBM KLCI telah mencapai pertumbuhan sehingga 11.91 peratus.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, prestasi pasaran ekuiti tempatan mendapat tempias positif daripada pasaran ekuiti global yang dilihat positif berikutan keputusan syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Amerika Syarikat mencatatkan kenaikan dalam keuntungan yang tinggi.

Katanya, terbaharu adalah keputusan suku pertama syarikat teknologi Nvidia yang mencatatkan kenaikan jumlah hasil sebanyak 262 peratus tahun ke tahun kepada AS$26 billion dan pendapatan sesaham AS$6.12 iaitu kenaikan sebanyak 461 peratus.

“Justeru, prestasi pasaran ekuiti tempatan mendapat tempias positif terutamanya Malaysia yang juga merupakan pemain utama dalam industri semikonduktor dan bakal mendapat manfaat daripada kepesatan pembangunan kecerdasan buatan atau (AI).

“⁠Pihak kami menjangkakan indeks FBM KLCI berpotensi untuk mencecah sekitar 1,680 hingga 1,700 mata pada akhir tahun ini sekiranya momentum ini dapat dikekalkan,” katanya dalam kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, antara sektor yang dijangka menerima manfaat daripada perkembangan positif ini adalah teknologi, pembinaan, hartanah dan perladangan.

“Secara umumnya penilaian pasaran saham Malaysia masih dibawah nilai dengan nisbah harga kepada pendapatan berlegar sekitar 16.12 kali berbanding purata jangka panjang 17 kali,” ujarnya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, Bursa Malaysia mencatatkan prestasi yang menaik berikutan aliran dana pelaburan asing yang masuk dalam masa terdekat.

Katanya, perkembangan tersebut memberikan momentum positif kepada pasaran hingga mencecah nilai dagang tertinggi yang tidak pernah terjadi sejak beberapa tahun.

“Ia juga selari dengan bursa-bursa Asia yang secara keseluruhannya positif dengan reaksi kepada China yang bersungguh-sungguh menangani krisis industri hartanahnya dan jangkaan kadar faedah diturunkan.

“United Kingdom (UK) juga melaporkan kadar inflasi telah menurun kepada 2.3 peratus dari 3.2 peratus sebelumnya memberikan pertanda positif Bank of England (BOE) akan menurunkan kadar faedah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya