PETALING JAYA: Utusan Malaysia antara akhbar utama yang mendorong pertumbuhan perbelanjaan pengiklanan (adex) dalam media pada suku pertama 2024, kata Kenanga Investmenst Bank Bhd. (Kenanga IB).
Menurut nota penyelidikannya, Adex akhbar dan radio meningkat masing-masing enam dan 18 peratus pada suku tersebut, dipacu terutamanya oleh segmen akhbar Bahasa Melayu sebanyak yang tumbuh 28 peratus tahun ke tahun.
Katanya, berbeza pula dengan segmen Bahasa Cina iaitu jatuh 11 peratus tahun ke tahun.
“Penerbitan utama yang menyokong pertumbuhan itu ialah Utusan Malaysia, Sinar Harian, dan New Straits Times,” katanya.
Firma penyelidikan berkata, memandangkan kemunculan semula media tradisional, bahagian pasaran media digital pula merosot sebanyak 2.3 mata peratusan kepada 21.2 peratus pada suku tersebut berbanding 21 peratus pada suku sama 2023.
“Akibatnya, ini menjejaskan pengembangan bahagian pasaran suku ke suku berturut-turut sejak suku keempat tahun 2022,” ujarnya.
Kenanga IB berkata, adex suku pertama tahun ini meningkat 14 peratus tahun ke tahun, melebihi jangkaan berikutan pemulihan yang lebih kukuh daripada jangkaan dalam televisyen bebas siaran (FTA TV), terutamanya didorong oleh pemulihan dalam kedua-dua sentimen perniagaan dan pengguna.
Menurutnya, kecuali untuk perbelanjaan iklan pawagam, terdapat pengembangan tahun ke tahun yang meluas secara menyeluruh, yang diterajui terutamanya oleh TV FTA dan segmen media digital.
“Kami menaik taraf anggaran pertumbuhan adex tahun kewangan 2024 kepada 10.8 peratus tahun ke tahun daripada penguncupan 0.2 peratus.
“Sebaliknya, kami percaya media tradisional berkemungkinan kehilangan adex yang dipertingkatkan memandangkan popularitinya yang semakin berkurangan dalam kalangan pengiklan disebabkan kos setiap teraan yang tinggi (berbanding media digital),
“Ia juga bersifat tidak interaktif (berbanding format dua hala media digital) dan ketidakupayaan untuk memperibadikan kandungan berbanding media digital yang boleh berbuat demikian dengan menggunakan kecerdasan buatan (AI),” ujarnya.
Kenanga IB mengekalkan penarafan ‘underweight’ pada sektor media.-UTUSAN










