PETALING JAYA: Pakar menjangkakan ringgit tidak banyak perubahan, berada pada kadar RM4.72 hingga RM4.75 minggu hadapan, berikutan ketidaktentuan pasaran kewangan global terutamanya dipengaruhi oleh tindakan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, Pengerusi Fed, Jerome Powell telah menyatakan bahawa kadar faedah telah pun mencapai tahap tertinggi dan tidak akan dinaikkan lagi.
“Ini memberikan kesan positif kepada mata wang lain termasuk ringgit yang bakal akan menguat serentak dengan penurunan nilai mata wang dolar AS nanti mendorong pemotongan kadar faedah oleh Fed.
“Namun begitu, Powell turut memaklumkan kadar faedah tidak akan dikurangkan dalam masa terdekat. Ini menyebabkan ketidaktentuan kepada arah pasaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelas Aimi Zulhazmi lagi, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pula dijangka tidak begitu aktif dan berada pada anggaran 1,550 mata.
Katanya, ia berikutan cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri yang panjang bermula pertengahan minggu lagi.
“Kegiatan mengambil untung juga telah stabil dan indek pasaran dijangka kekal dijulat 1,550 mata,” katanya.
Pada 9 pagi, mata wang tempatan kekal tidak berubah pada 4.7380/7420 berbanding dolar AS daripada 4.7380/7425 semalam.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ringgit dijangka tidak berubah dan berada pada kedudukan RM4.73 hingga RM4.75 pada minggu hadapan.
“Hal ini disebabkan faktor Fed melambatkan perancangan untuk menurunkan kadar faedah,” katanya.
Mengulas lanjut, Bursa Malaysia mungkin tidak mengalami perubahan disebabkan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Saya menjangkakan FBM KLCI pada kedudukan sekitar 1,550 mata,” katanya.-UTUSAN










