PETALING JAYA: Proton membuka pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di China baru-baru ini untuk mengukuhkan usaha kerjasama dengan rakan kongsi Zhejiang Geely Holding Ltd (Geely) dalam langkah untuk melengkapkan kemudahan sedia ada di Malaysia.
Pengeluar kereta nasional dalam kenyataan berkata, pembukaan pusat R&D Proton (China) di Institut Penyelidikan Automobil Geely (GRI) di Teluk Hangzhou itu bertepatan dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia.
Katanya, keupayaan PROTON untuk mengkonseptualisasikan, mereka bentuk, membina dan mengeluarkan kenderaan baharu dari awal telah membezakannya daripada jenama nasional yang lain.
“Proton akan terus melabur dan mengembangkan kemudahan R&D tempatan di Shah Alam dan Tanjong Malim sambil membangunkan kumpulan modal insan yang berpengalaman.
“Dengan pembukaan pusat R&D Proton (China), kebolehan ini kini telah diperkukuhkan dengan meningkatkan sinergi kecekapan dalaman Proton dengan sumber dan pengetahuan Geely.
“Pusat ini juga akan membantu meningkatkan kerjasama rentas sempadan, memudahkan pemindahan pengetahuan antara Proton dan Geely, serta memacu inovasi untuk produk yang sesuai bagi memenuhi keperluan pelanggan Proton,” katanya.
Proton berkata, dengan aspirasi yang mencerminkan kisah kejayaan Teknologi Kenderaan Euro China (CEVT) di Gothenburgh, Sweden, perkembangan terbaharu ini mampu mendorong pusat R&D Proton di Malaysia menjadi pusat R&D global kumpulan Geely yang keenam dalam rangkaian tersebut.
“Untuk memaksimumkan kekukuhan masing-masing dan menyesuaikan diri dengan keperluan pembangunan strategik kumpulan, pusat baharu itu akan mengabungkan kepakaran dan pengalaman jurutera dari Malaysia dan China.
“Akhirnya, dengan tenaga kerja kira-kira 50 pekerja, ia akan menjadi rangka kerja untuk latihan dan output bakat antarabangsa PROTON dan Geely,” jelasnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, penubuhan kemudahan ini membolehkan pihaknya bekerja lebih erat dengan rakan kongsinya dan akan memberi inspirasi kepada hubungan masa hadapan sambil membantu meluaskan kehadiran global Proton.
“Harapan kami adalah untuk bergerak ke arah matlamat menjadi pusat R&D Kumpulan Geely yang keenam, sambil memperkukuh keupayaan sedia ada Proton yang telah sedia ada di Malaysia.
“Kami tetap teguh dalam komitmen kami untuk melepasi sempadan, mencabar status quo dan membuat kemungkinan tanpa berkesudahan untuk masa depan mobiliti,” ujarnya.
Pusat R&D Proton (China) mempunyai tiga jabatan untuk memastikan operasi yang lancar, iaitu Institut Penyelidikan Pusat, Pusat Pembangunan Perisikan Data dan Pusat Pendigitalan R&D. – UTUSAN










