PETALING JAYA: Nestle (Malaysia) Berhad dijangka menaikkan harga jualan bagi produk terpilih sebagai tindak balas daripada lonjakan harga koko global baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, akibat daripada harga komoditi global yang semakin meningkat seperti koko dan kopi, harga produk tertentu akan mengalami kenaikan bagi tempoh beberapa bulan yang akan datang.
Jelasnya, harga niaga bagi koko pada minggu lepas juga sudah mengalami peningkatan hampir enam peratus tetapi tidak semua kenaikan kos yang akan dipindah kepada pengguna.
“Disebabkan ketidaktentuan dalam pasaran komoditi, sudah tentu kami tidak akan memberikan kesan sepenuhnya kepada pengguna.
“Mungkin terdapat beberapa kenaikan harga yang perlu kami lakukan dalam beberapa bulan yang akan datang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Peraduan Nestle Gaji Sepanjang Hayat 2024 di sini.
Katanya, Nestle dapat menjangkakan sentimen pengguna tahun ini sedikit lemah akibat daripada faktor tertentu seperti inflasi makanan dan didorong oleh harga komoditi antarabangsa.
Namun begitu, mereka tetap kekal positif dan tetap komited untuk menyediakan produk selamat, berkualiti tinggi dan yakin dapat memenuhi citarasa pengguna berbanding pesaingnya.
Tambahnya, walaupun terdapat dakwaan bahawa produk Nestle memiliki tahap gula tambahan yang tinggi, namun mereka masih mematuhi undang-undang yang ditetapkan oleh badan antarabangsa dan tempatan, termasuk di negara ini.
“Kami berhasrat untuk memastikan kenaikan harga produk masih berada pada tahap yang lebih minimum dan merancang untuk melaksanakan pelarasan yang sederhana sahaja untuk produk tertentu,” ujarnya. – UTUSAN










