PETALING JAYA: Permintaan domestik dijangka terus memacu pertumbuhan ekonomi pada suku pertama tahun ini dan diunjurkan lebih tinggi pada suku keempat 2023, kata penganalisis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 3.9 peratus bagi suku pertama oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan fasa pemulihan negara yang berterusan.
Katanya, kadar pengangguran negara juga masih rendah dan terdapat penurunan dari segi bilangan, menunjukkan sudah ada yang mendapat pekerjaan baharu.
“Bagaimanapun, permintaan luar masih lagi dalam keadaan berjaga-jaga seperti mana yang dilihat pada data eksport yang agak menurun. Ini sama juga dengan China yang agak menguncup.
“Walaupun pemulihan dapat dilihat, momentum masih berisiko seperti faktor geopolitik di Asia Barat dan juga di Ukraine. Ini boleh memberi kesan kepada harga komoditi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, beliau berkata, beliau sebelum ini menjangkakan pertumbuhan ekonomi pada suku pertama pada 3.5 peratus, lebih tinggi berbanding 3.0 peratus pada suku keempat 2023.
“Memandang ke hadapan, pergerakan masih lagi berhati-hati. Ini kerana situasi seperti kos sara hidup dan kadar faedah masih tinggi.
“Ketidakpastian ekonomi global masih lagi memberi kesan kepada ekonomi negara,” ujarnya.
Mengulas mengenai pergerakan ringgit, beliau mengunjurkan mata wang negara akan berada pada sekitar RM4.77 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini.
Jelasnya, beberapa peristiwa global dan beberapa data penting termasuk mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang membuat keputusan mengenai kadar faedah AS akan berlangsung pada minggu ini.
“Secara umumnya, pasaran perlu lebih berhati-hati dan mata wang dolar AS dijangka akan terus mengukuh,” ujarnya. – UTUSAN










