MPOB teliti projek penyelidikan, isu industri sawit negara - Utusan Malaysia

MPOB teliti projek penyelidikan, isu industri sawit negara

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melaksanakan kerangka penyelidikan yang dibangunkan khusus untuk memacu hala tuju industri sawit negara melalui penyelidikan genetik, pembangunan mampan, teknologi pemprosesan dan mekanisasi, pembangunan produk tambah nilai serta teknologi digital.

Pengerusinya, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, dengan penumpuan hala tuju yang strategik, MPOB komited menangani isu-isu industri dengan berkesan di samping memperhebat usaha penyelidikan dan pembangunan.

“Hala tuju penyelidikan MPOB diselarikan dengan lima teras dasar yang digariskan dalam Dasar Agrokomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030),” katanya dalam kenyataan sempena Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Program (PAC) 2024.

Mesyuarat PAC 2024 selama empat hari akan meneliti projek penyelidikan dan isu dalam industri sawit Malaysia bagi memastikan ia akan terus mencatat pertumbuhan pesat ke arah masa depan industri yang lebih mampan.

Ahli PAC terdiri daripada saintis, penggiat sendiri serta pakar terkemuka dari dalam dan luar negara yang dipertanggungjawabkan untuk meneliti serta merencana idea serta formula terbaik dalam pembangunan serta penyelidikan untuk industri sawit.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, ahli PAC meneliti serta membincangkan pelbagai inisiatif kaedah-kaedah baharu untuk peningkatan bahan tanaman dan pengurusan kebun yang cekap.

Ujarnya, ia sebagai strategi utama untuk memastikan peningkatan hasil yang signifikan.

“Dalam ekosistem dan ketidakstabilan global hari ini, industri sawit berpotensi menjana pendapatan yang lumayan dengan penggunaan teknologi moden.

“Ini meliputi dalam operasi ladang, pemprosesan, serta bahan tanaman berdaya saing tinggi yang dihasilkan oleh penyelidikan MPOB,” ujarnya.

Tambahnya, penyelidikan teknologi genetik terkini dan teknik pertanian pintar akan memacu penanaman sawit yang bukan sahaja tahan terhadap penyakit dan perubahan iklim, tetapi juga mengoptimumkan penggunaan nutrien dan air.

Jelasnya, langkah ini sangat penting untuk pengeluaran dan kualiti minyak yang efisien, serta memastikan kemampanan alam sekitar dalam jangka panjang.

“Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital telah mencetuskan lonjakan dalam perkembangan serta adaptasi teknologi dan digital dalam kegunaan harian dan industri.

“Krisis ekonomi global turut mendorong pelbagai industri merebut peluang untuk mengoptimumkan kos penghasilan, antaranya melalui adaptasi teknologi ke dalam operasi harian,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN