Untung bersih Scientex RM141 juta pada suku kedua - Utusan Malaysia

Untung bersih Scientex RM141 juta pada suku kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengeluar pembungkusan global dan pemaju hartanah,Scientex Berhad (Scientex) mencatatkan pertumbuhan 32.7 peratus untung bersih kepada RM141 juta bagi suku kedua berakhir 31 Januari 2024.

Bagi suku sama, hasil syarikat meningkat sebanyak 11.7 peratus kepada RM1.1 bilion, dipacu peningkatan hasil bahagian hartanah sebanyak 41.3 peratus kepada RM456.9 juta pada suku tinjauan berbanding RM323.3 juta pada suku yang sama sebelumnya.

Pertumbuhan itu disumbangkan oleh kemajuan pembinaan yang mantap pada semua pembangunan di seluruh utara, tengah dan selatan semenanjung, di samping sambutan yang kukuh untuk pelancaran baharu di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Melaka dan Johor.

Walaupun menghadapi cabaran pasaran global, prestasi bahagian pembungkusan kumpulan sebahagian besarnya berdaya tahan dengan hasil berjumlah RM635.8 juta berbanding RM655.1 juta sebelumnya.

Bagi tempoh enam bulan pertama pula, untung bersih syarikat meningkat 30.6 peratus kepada RM278.9 juta dan hasil naik 9.5 peratus kepada RM2.2 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lim Peng Jin berkata, prestasi konsisten bahagian pembungkusan di tengah-tengah keadaan pasaran yang mencabar mencerminkan daya saing kumpulan yang disediakan kepada pelanggan globalnya.

Katanya, syarikat mengutamakan inovasi dan pembangunan penyelesaian nilai tambah, sambil bertindak balas kepada meningkatkan permintaan untuk penyelesaian yang mampan dan boleh dikitar semula sepenuhnya.

“Dalam pada itu, bahagian hartanah kami terus membuat kemajuan ke arah matlamat kami untuk menghantar 50,000 rumah menjelang 2028, menandakan kemajuan ketara dalam menangani permintaan penting untuk rumah mampu milik di negara ini.

“Sebagai sebahagian daripada strategi peluasan merentas sempadan kami, kami komited untuk meluaskan kehadiran hartanah mampu milik di seluruh negara, yang kini merangkumi tujuh negeri dengan pengambilan tanah strategik yang berterusan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas mengenai prospek masa depan, Peng Jin berkata, pihaknya menumpukan pada teras bahagian pembungkusan untuk memacu pertumbuhan yang mampan dan optimistik untuk mengekalkan prestasi bahagian itu.

“Kami komited untuk meningkatkan kecekapan operasi dan mengutamakan kos, kualiti dan penghantaran kepada pelanggan kami, sekali gus meningkatkan kelebihan daya saing kami.

“Selain itu, pelaksanaan berterusan sistem solar fotovoltaik (PV) di seluruh kilang kami di Malaysia akan membantu mengimbangi kos tenaga yang tinggi dan memajukan inisiatif kelestarian alam sekitar kami,” ujarnya.

Dalam bahagian hartanah, beliau berkata, permintaan yang kukuh untuk hartanah mampu milik terus menyokong pertumbuhan, dengan pengambilan ketara pada semua pelancaran baharu di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN