SEKTOR tenaga boleh diperbaharui (RE) semakin mendapat tempat dalam pasaran terutamanya dengan matlamat kerajaan untuk mencapai 70 peratus kapasiti pemasangan RE menjelang 2050, menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Tidak mahu ketinggalan dalam peralihan tenaga, pemaju hartanah, M K Land Holdings Berhad (M K Land) juga giat mengatur langkah untuk memperluaskan lagi skop perniagaan mereka dalam sektor tersebut
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Ahmad Soalahuddin Al-Thani berkata, M K Land yang mula terlibat dalam RE terutamanya tenaga solar kira-kira dua tahun lalu dalam perancangan untuk membangunkan lot industri yang berkaitan RE menjelang 2025.
Katanya, lot tersebut dijangka dibangunkan di utara Perak iaitu berhampiran dengan ladang solar M K Land seluas 1,214 hektar.
“Buat masa ini, kami masih merancang untuk pembangunan industri tersebut tetapi belum ada yang muktamad lagi. Ada peluang untuk kembangkan pembangunan industri di utara Perak dengan memberi tumpuan pada RE.
“Ini juga mengambil kira faktor luaran seperti China Plus One iaitu syarikat dari China membuka kilang mereka di luar negara selain di negara itu.
“Secara umumnya, kami optimis dengan perancangan ini. Kami juga berharap akan mendapatkan limpahan industri daripada Pulau Pinang kepada pembangunan itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Strategi China Plus One adalah syarikat yang berpangkalan di China menubuhkan hab pengeluaran di negara lain secara global bagi menggalakkan syarikat untuk meminimumkan pergantungan rantaian bekalan mereka kepada China.
Sementara itu, Ahmad Soalahuddin berkata, penyediaan lot industri tersebut adalah bertepatan kerana pihaknya sudah mempunyai ladang solar yang boleh dibekalkan kepada pihak industri.
Beliau berkata, selain ladang solar sedia ada, M K Land yang pemilik Bukit Merah Laketown Resort juga dalam proses perbincangan untuk membangunkan ladang solar terapung atas air di tasik tersebut.
“Pembangunan ladang solar di atas tanah di sesebuah kawasan menyebabkan tanah hanya boleh digunakan untuk tujuan tersebut satu tempoh masa. Jadi, tidak boleh buat pembangunan lain di tanah itu dalam tempoh itu.
“Oleh itu, kami merancang untuk bangunkan ladang solar terapung di tasik itu. Tasik tersebut adalah seluas 2,832 hektar dan kami merancang untuk membangunkan ladang solar terapung sekitar 202.3 hektar,” ujarnya.
Menurutnya, kos pembangunan ladang solar terapung adalah lebih tinggi daripada atas tanah tetapi tidak terlalu signifikan.
Tambahnya, pembangunan tersebut juga dapat memanfaatkan kawasan yang ada dengan lebih efektif.
Ahmad Soalahuddin berkata, M K Land mempunyai 1,618.7 bank tanah yang belum dibangunkan yang mana 80 peratus daripada berada di Perak.
“Buat masa ini, projek kami tertumpu pada pembangunan bandar yang sedia ada kami bangunkan dengan membangunkan fasa-fasa seterusnya.
“Bagaimanapun, kami ada juga mencari tanah untuk dibeli di lokasi strategik di Lembah Klang,” jelasnya.-UTUSAN










