Sektor pembuatan catat pertumbuhan 3.2 peratus pada Januari

Sektor pembuatan catat pertumbuhan 3.2 peratus pada Januari 2024

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai jualan sektor pembuatan kembali kepada pertumbuhan positif tahun ke tahun sebanyak 3.2 peratus, mencapai RM152.7 bilion pada Januari 2024, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, nilai jualan sektor pembuatan memulih kepada 3.2 peratus pada Januari 2024 selepas menguncup sejak Jun 2023, mencapai RM152.7 bilion (Disember 2023: -4.2 peratus). 

Katanya, pengembangan tersebut disokong oleh pertumbuhan kukuh sebanyak 15.8 peratus dalam subsektor kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (Disember 2023: 6.4 peratus), ditambah dengan trend peningkatan bagi subsektor makanan, minuman dan tembakau yang melonjak sebanyak 11.4 peratus (Disember 2023: -2.6 peratus). 

“Dalam pada itu, subsektor produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka terus tumbuh kukuh, berkembang sebanyak 9.6 peratus (Disember 2023: 7.4 peratus). 

“Berbanding bulan sebelumnya, nilai jualan meningkat 1.9 peratus berbanding RM149.9 bilion yang dicatatkan pada Disember 2023 (-3.3 peratus),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, nilai jualan industri berorientasikan eksport yang mewakili 69.1 peratus daripada jumlah jualan, meningkat sedikit sebanyak 0.1 peratus pada Januari 2024 (Disember

2023: -8.4%). 

Jelasnya, momentum kenaikan tersebut sebahagian besarnya dipacu oleh peningkatan dalam pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan pada 12.7 peratus; pembuatan kimia dan produk kimia (5.3 peratus); dan pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (2.7 peratus). 

“Berasaskan bulan ke bulan, nilai jualan industri berorientasikan eksport menokok 1.7 peratus berbanding penurunan 3.9 peratus yang dicatatkan pada Disember 2023.

“Pada masa yang sama, industri berorientasikan domestik meningkat lebih baik sebanyak 10.8 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 7.7 peratus pada Disember 2023. 

“Kenaikan tersebut disokong terutamanya oleh pertumbuhan kukuh sebanyak 19.8 peratus dalam pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler; pembuatan produk logam, kecuali mesin dan kelengkapan yang menokok sebanyak 12.3 peratus; dan pengembangan dalam pembuatan produk pemprosesan makanan sebanyak 10.3 peratus,” ujarnya.

Mohd Uzir berkata, berbanding bulan sebelumnya, nilai jualan industri berorientasikan domestik meningkat sebanyak 2.3 peratus, berbanding dengan penurunan 1.9 peratus pada Disember 2023.

Mengulas mengenai bilangan pekerja, beliau berkata, sektor pembuatan melibatkan seramai 2.37 juta orang pekerja pada Januari 2024, meningkat 1.3 peratus berbanding 2.34 juta orang yang dicatatkan pada Januari 2023.

“Penambahan itu sebahagian besarnya didorong oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau (5.5 peratus); produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (1.8 peratus); dan kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (1.1peratus),” jelansya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×