PETALING JAYA: Semua pihak berkaitan perlu segera bertindak bagi menangani cabaran utama dalam industri minyak sawit bagi memastikan komoditi itu kekal menjadi antara penyumbang utama kepada pendapatan negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ia turut membabitkan kerajaan juga perlu mengurus persepsi negatif terhadap minyak sawit yang kehilangan peluang besar yang timbul daripada ketidakcekapan pekebun kecil, perubahan iklim (El Nino) dan isu buruh.
Beliau berkata, walaupun isu-isu itu bukan baharu namun ia secara berterusan menjejaskan industri minyak sawit.
“Walaupun menghadapi cabaran industri minyak sawit dibentangkan dengan banyak peluang. Sebab itu penting mewujudkan jenama Malaysia yang tersendiri bagi minyak sawit, jenama yang sinonim dengan elemen kualiti tinggi dan kelestarian.
“Malaysia berpotensi untuk menetapkan standard terbaik dalam minyak sawit untuk peringkat global,” katanya selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Tinjauan Harga Minyak Sawit dan Laurik (POC2024) di sini, semalam.
Menurut Johari, pada 2023, pasaran minyak sawit memaparkan daya tahan di sebalik ketidaktentuan ekonomi global dan industri itu kekal menjadi bahagian penting dalam ekonomi Malaysia dengan menyumbang kira-kira tiga peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas.
“Walaupun harga MSM mencatat penurunan ketara, nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskannya mencatat lebih RM100 bilion yang didorong oleh pertambahan jumlah dagangan,” ujarnya.
Pada 2024, beliau menjangkakan permintaan kukuh minyak sawit dari destinasi eksport utama seperti India (17.4 peratus), China (9.1 peratus) dan Kesatuan Eropah (7.4 peratus).
“Permintaan itu disokong oleh minat untuk menambah stok bagi memastikan keselamatan makanan dan daya maju aktiviti keseluruhan perniagaan,” katanya.
Mengulas lanjut, kewujudan kluster atau ladang berskala besar perlu dilaksanakan segera bagi membolehkan mereka mengguna pakai amalan pengurusan ladang yang baik untuk menyatukan pekebun kecil sawit.
Ia sekali gus menambah kapasiti pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) sebanyak 600,000 tan setahun atau sekitar RM2.4 bilion.
Daripada 5.7 juta hektar kawasan tanaman kelapa sawit, 27 peratus (1.5 juta hektar) diuruskan secara kecil-kecilan melalui pekebun kecil.
Johari berkata, secara purata, setiap pekebun kecil menguruskan empat hektar ladang dan kebanyakan mereka turut berhadapan dengan kesukaran untuk meningkatkan hasil.
“Sekiranya langkah menyatukan pekebun kecil itu walaupun hanya 30 peratus dapat dilaksanakan, negara akan mempunyai tambahan 250,000 hektar tanah untuk diuruskan dengan cekap.
“Hasil buah tandan segar (BTS) dengan mudah boleh meningkat sebanyak dua metrik tan satu hektar menjadikan pengeluaran MSM bertambah 600,000 tan setahun atau sekitar RM2.4 bilion pada harga pasaran semasa tanpa sebarang perubahan guna tanah tambahan,” katanya. – UTUSAN










