SHAH ALAM: Penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) komited dalam meningkatkan pemenuhan dan khidmat logistik e-dagang menerusi Pos Fulfill.
Perkhidmatan pemenuhan bersepadu yang direka sejak 2022 itu bertujuan menyediakan pergudangan dan pemenuhan pesanan yang lancar.
Ketua Pegawai Transformasi dan Digital Kumpulan Pos Malaysia, Sumesh Rahavendra berkata, Pos Fulfill berupaya memenuhi peningkatan permintaan bagi sektor perniagaan ke perniagaan (B2B) dan perniagaan ke pengguna (B2C).
“Perkhidmatan ini merupakan satu daripada elemen penting dalam meningkatkan keupayaan kami dan memenuhi keperluan perniagaan dalam era e-dagang.
“Menerusi rangkaian yang luas, kemudahan canggih dan pasukan berdedikasi, kami yakin Pos Fulfill mampu menyediakan liputan komprehensif tiada tandingan di seluruh negara,” katanya ketika ditemui pada lawatan eksklusif media di gudang terbesar perkhidmatan itu di Kompleks Perindustrian Antarabangsa Bukit Raja di sini, semalam.
Gudang yang beroperasi sejak Oktober tahun lalu itu menempatkan pelbagai barangan seperti minyak dan produk penjagaan diri serta kesihatan yang meliputi seramai 22 pelanggan syarikat setakat ini.
Dalam pada itu Sumesh memaklumkan, Pos Fulfill menawarkan rangkaian kemudahan luas yang ditempatkan di lokasi strategik termasuk tiga hab pusat dan lapan hab serantau.
“Ia dilengkapi lebih 200,000 kaki persegi ruang gudang termasuk di Kota Kinabalu dan Kuching dengan perkhidmatan ‘last mile’ (penghantaran terakhir) dan disokong ‘daily line haul’ dan ‘back haul’ dari pusat ke tapak serantau.
“Menerusi teknologi maju dan kebolehlihatan sistem, Pos Fulfill memastikan produk pelanggan disimpan dengan selamat dan teratur selain dihantar tepat pada waktunya,” jelasnya.
Beliau menambah, pihaknya bersedia merevolusikan pemenuhan dan logistik e-dagang menerusi rangkaian strategik sedia ada, kemudahan moden dan pelbagai tawaran perkhidmatan.
“Pasukan operasi berkemahiran tinggi di Pos Fulfill secara puratanya 11 tahun berpengalaman dalam logistik kontrak multinasional selain pasukan dedikasi jualan dan penyelesaian.
“Selain penggunaan Sistem Pengurusan Gudang (WMS) termaju yang direka bagi menyelaras operasi B2B dan B2C, sistem penghantaran terakhir memastikan ketelusan lengkap kepada pelanggan,” ujarnya.
Kata Sumesh lagi, Pos Malaysia berhasrat memperoleh pelbagai sektor perniagaan untuk Pos Fulfill termasuk automotif, runcit dan makanan, teknologi maklumat, pakaian, elektrik serta elektronik.
“Selain pergudangan, kami mempunyai rangkaian perkhidmatan komprehensif termasuk pengangkutan, sokongan yang didayakan web, pemindahan rentas sempadan dan pelepasan kastam.
“Pos Fulfill bersedia menjadi rakan kongsi pilihan bagi perniagaan yang mahu mengoptimumkan rantaian bekalan dan mencapai pertumbuhan pesat landskap e-dagang,” katanya.-UTUSAN










