PETALING JAYA: Prestasi pelancongan domestik di Malaysia meneruskan trend pemulihan pada tahun lalu dengan jumlah perbelanjaan RM84.9 bilion, meningkat 32.5 peratus berbanding RM64.1 bilion pada 2022, menurut laporan Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, secara keseluruhan, jumlah pelawat domestik turut meningkat kepada 210.9 juta pelawat berbanding 160.1 juta pada tahun sebelumnya.
“Walau bagaimanapun, kedua-dua statistik ini masih di bawah paras prapandemik pada 2019, dengan jumlah pelawat dan perbelanjaan pelancongan domestik masing-masing 11.8 peratus dan 17.7 peratus lebih rendah,” katanya dalam kenyataan.
Bagi prestasi suku keempat 2023, pelancongan domestik di Malaysia merekodkan 54.3 juta, melonjak 16.1 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.
Sementara itu, bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, pelawat domestik meningkat 1.6 peratus.
Bagi perbelanjaan pelancongan domestik pula mencatatkan RM23.8 bilion, menandakan peningkatan 29.5 peratus tahun ke tahun dan peningkatan 18.5 peratus suku tahun ke suku tahun.
Mengulas lanjut mengenai prestasi berkaitan industri pelancongan pada suku keempat
2023, Mohd. Uzir berkata, indeks hasil taman tema meningkat 49.2 peratus tahun ke tahun, diikuti ketibaan di lapangan terbang domestik (+1.7 peratus), trafik lebuh raya (+10.9 peratus) dan jualan runcit bahan api (+3.4 peratus).
“Sementara itu, indeks hasil penginapan juga meningkat dengan merekodkan 12.5 peratus.
“Kadar penghunian hotel lima bintang meningkat 2.1 peratus, diikuti hotel empat bintang (+0.7 peratus) dan hotel tiga bintang (+14.8 peratus).
“Kadar penghunian mengikut lokasi di bukit dan bandar masing-masing meningkat 2.2 peratus dan 2.6 peratus, berbanding suku sama tahun lalu,” ujarnya. – UTUSAN










