MITI, MIDA bantu penempatan semula pekerja Goodyear

MITI, MIDA bantu penempatan semula pekerja Goodyear

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan menggerakkan pasukan khas untuk memudahkan penempatan kerja serta menawarkan program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula bagi kakitangan Goodyear yang terjejas akibat penutupan kilang tersebut di Shah Alam.

Inisiatif tersebut digerakkan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang mengambil langkah proaktif dan positif sebagai tindak balas terhadap keputusan itu.

MIDA dalam kenyataan berkata, pihaknya terlibat secara aktif dengan Pertubuhan Keselamaan Sosial (Perkeso) dan Jabatan Tenaga Kerja melalui Pusat Fasiliti Invest Malaysia yang baharu ditubuhkan untuk memudahkan bantuan penempatan pekerjaan dari pelbagai sektor.

“Goodyear, bersama para pemegang sahamnya, telah berada dalam penyelarasan yang rapat dengan kerajaan sebelum keputusan ini dihebahkan dan berusaha gigih untuk mewujudkan rangka kerja sokongan untuk pekerja.

“Kerjasama awalan ini menunjukkan komitmen kolektif kami terhadap kesejahteraan tenaga kerja, menggariskan bahawa usaha kami untuk membantu pekerja yang terjejas dilaksanakan dengan pandangan jauh dan tanggungjawab,” katanya di sini hari ini.

MIDA berkata, kira-kira 550 pekerja akan terjejas secara langsung oleh penutupan itu dan Goodyear menekankan dedikasinya untuk mengendalikan peralihan ini dengan penuh penghormatan dan ketelusan untuk semua pekerja dan rakan sekutunya.

“Campur tangan ini adalah bukti komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk menyokong tenaga kerja tempatan kami melalui perubahan industri yang transformatif, menggunakan kerjasama yang berjaya sebelum ini,” ujarnya.

Menurutnya, perkembangan ini adalah sebahagian daripada langkah global Goodyear yang bertujuan untuk mencapai penjimatan kos tahunan sebanyak AS$1.0 bilion (RM4.73 bilion) menjelang 2025.

Syarikat itu telah beroperasi dengan kerugian sejak 2017, mendorong peralihan strategik ke arah mengoptimumkan operasinya.

Sebagai sebahagian daripada penstrukturan semulanya, Goodyear telah menunjukkan rancangan untuk beralih daripada pembuatan kepada model perniagaan pengedar, memberi tumpuan kepada segmen premium yang menguntungkan, membina keupayaan dalam jualan dan pemasaran, mengukuhkan rangkaian pengedaran, dan menambah baik struktur kos.

Semalam,  Goodyear mengumumkan bakal menutup operasi kilang di Shah Alam berkuat kuasa 30 Jun depan, sekali gus memberi kesan kepada 550 pekerjanya di negara ini.

Menurut Presiden GoodYear Asia Pasifik, Nathaniel Madarang, tindakan itu adalah salah satu langkah dalam program transformasi Goodyear Forward yang direka untuk mengoptimumkan operasi syarikat.

Jelasnya, program ini termasuk tindakan khusus untuk mengurangkan kos tahunan sebanyak AS$1 bilion (RM4.73 bilion) menjelang 2025, bagi memastikan Goodyear kekal berdaya saing dan berada di kedudukan sebagai peneraju industri.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN