LTAT lantik Pengerusi, Ketua Eksekutif baharu berkuat kuasa 1 April - Utusan Malaysia

LTAT lantik Pengerusi, Ketua Eksekutif baharu berkuat kuasa 1 April

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melantik Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin sebagai Pengerusi dan Mohammad Ashraf Md. Radzi sebagai Ketua Eksekutif yang baharu berkuat kuasa 1 April ini.

Menerusi satu kenyataan LTAT, Azizan merupakan satu nama yang berpengalaman dan kepimpinan yang luas selepas berkhidmat dengan cemerlang dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 40 tahun.

“Beliau telah memegang jawatan penting sepanjang perkhidmatan iaitu Panglima Operasi Tentera Udara, Timbalan Panglima Tentera Udara dan juga dilantik menjadi Panglima Tentera Udara ke-15.

“Azizan juga telah mencipta sejarah menjadi Panglima ATM pertama daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Malah, beliau juga berpengalaman luas dalam bidang hal ehwal tentera, diplomasi dan pembangunan kepimpinan yang boleh mendorong LTAT mencapai objektif strategik dan meningkatkan peranan menjaga kebajikan anggota tentera dan keluarga mereka,” katanya.

AZIZAN

Selain itu, Azizan juga telah mengikuti kursus penerbangan di Australia dan menerima kelayakan menjadi juruterbang TUDM pada 7 Julai 1977 dan juga merupakan graduan Air Command and Staff College (USA) and the National Defence College (India).

Sementara itu, Mohammad Ashraf dilantik menjadi Ketua eksekutif selepas memegang jawatan Ketua Pegawai Kewangan sejak Mac 2020.

“Sepanjang perkhidmatannya, beliau telah menunjukkan kecekapan dalam menguruskan kewangan, memimpin rangka strategi dan memastikan kepatuhan pada prinsip kebertanggungjawaban kewangan di lembaga terbabit.

ASHRAF

“Kepimpinan beliau telah memberikanyang signifikan kepada agenda transformasi organisasi yang berjaya memulihkan dividen kepada tahap yang mampan serta meningkatkan kedudukan kewangan secara keseluruhannya,” katanya.

Mohammad Ashraf sebelum ini memulakan kerjanya di Eropah dengan menjalani latihan sebagai akauntan di Ernst & Young sebelum berkhidmat bersama UBS Investment Bank.

Selepas pulang ke tanah air, Mohammad Ashraf beliau mengembangkan kepakarannya dalam bidang kewangan korporat di Prokhas Sdn Bhd, sebuah firma penasihat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan (MOF).

Selepas itu, beliau berkhidmat di Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB) sebagai Ketua Kewangan Korporat sebelum menyandang jawatan Ketua Pegawai Kewangan AZRB.

Mohammad Ashraf juga adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam Bidang Perakaunan dari Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Beliau juga ahli Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan menjadi Akauntan Bertauliah daripada Institut Akauntan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN