Inflasi dijangka meningkat pada suku kedua - Firma - Utusan Malaysia

Inflasi dijangka meningkat pada suku kedua – Firma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Momentum inflasi dijangka meningkat pada suku kedua 2024 berikutan pelarasan dalam cukai perkhidmatan dan jangkaan pelancaran rasionalisasi subsidi diesel, kata RHB Investment Bank Bhd.

Menurut prospek prospek ekonomi bulanannya, RHB Investment Bank mengekalkan unjuran inflasi 2024 pada 3.3 peratus tahun ke tahun.

Ujarnya, cadangan langkah-langkah penyatuan fiskal diunjur akan meningkatkan inflasi utama sebanyak 0.7 peratus hingga 1.1 peratus berbanding 2.5 peratus tahun ke tahun pada 2023.

“Setakat ini, risiko inflasi dikawal oleh harga makanan yang stabil, sebahagiannya disebabkan oleh subsidi makanan yang berterusan dan kawalan harga bagi barangan makanan ruji.

“Magnitud sebenar risiko peningkatan akan bergantung kepada beberapa faktor utama seperti tarikh kuat kuasa pelaksanaan untuk rasionalisasi subsidi bahan api, kuantum pelarasan harga dan tarif serta kekuatan kesan pusingan kedua terhadap perbelanjaan isi rumah dan kos perniagaan,” katanya.

Bank pelaburan itu berkata, tarikh berkuat kuasa untuk rasionalisasi subsidi bahan api atau harga runcit bahan api baharu belum lagi ditentukan buat masa ini.

“Garis masa kasar untuk rasionalisasi subsidi bahan api ialah harga diesel dirasionalkan menjelang suku kedua 2024, diikuti dengan rasionalisasi subsidi bahan api RON95 pada separuh kedua 2024,” ujarnya.

Sementara itu, pihaknya percaya Kadar Dasar Semalaman (OPR) berkemungkinan dikekalkan pada 3.00 peratus bagi 2024.

“Ini memandangkan kekurangan dorongan untuk Bank Negara Malaysia (BNM) mengubah tahap kadar dasarnya tahun ini, serta prospek ekonomi domestik yang lebih cerah di tengah-tengah ketidaktentuan dalam trajektori inflasi.

“Julat inflasi rasmi yang luas di antara 2.0 peratus hingga 3.5 peratus sepatutnya menyediakan ruang yang mencukupi untuk pergerakan harga di masa depan,” jelasnya.

Tambahnya, bank pusat mungkin mengekalkan kadar penanda arasnya sehingga terdapat kejelasan yang lebih besar mengenai garis masa yang tepat dan magnitud pembaharuan subsidi bahan api.

RHB Investment Bank berkata, BNM juga akan mengakses kesan yang tertinggal pada keseluruhan trajektori inflasi dan momentum ekonomi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN