IKEA buka pusat pengambilan di Kuala Terengganu

IKEA buka pusat pengambilan di Kuala Terengganu

TAKESHI Murai membantu mengangkat barangan milik pelanggan di pusat pengambilan baharu IKEA di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Gedung kelengkapan rumah terkemuka, IKEA, membuka pusat pengambilan baharu di Kuala Terengganu untuk kemudahan pelanggan setianya di negeri ini,  bermula hari ini.

Pengurus Stor IKEA Batu Kawan, Takeshi Murai berkata, pusat pengambilan itu merupakan yang kedua di Pantai Timur dan ketujuh di Malaysia selepas Kuantan, Miri, Kuching, Ipoh, Melaka dan Kota Kinabalu.

Menurut Takeshi, objektif utama pembukaan pusat berkenaan bertujuan menembusi dan mengukuhkan lagi pasaran produk kelengkapan rumahnya di Pantai Timur terutama Terengganu.

Beliau menjelaskan, IKEA menawarkan penghantaran produk ke pusat pengambilan itu pada harga serendah RM98 selain turut menyediakan perkhidmatan penghantaran ke rumah pembeli.

“Di IKEA kami sentiasa mahu mewujudkan pengalaman dan kehidupan harian yang lebih baik serta komited membantu pelanggan setia mendapatkan produk pilihan yang dibeli menerusi atas talian.

“Pelanggan boleh menikmati caj yang lebih rendah dengan mengambil produk di pusat pengambilan kami ini berbanding perkhidmatan penghantaran terus ke rumah mereka.

“Buat masa ini kita beroperasi tiga hari seminggu iaitu Khamis, Jumaat dan Sabtu,” katanya pada majlis pembukaan pusat pengambilan itu di Chabang Tiga di sini, hari ini.

Tambah Takeshi lagi, pihaknya juga melihat pusat pengambilan di bandaraya ini bakal memberi kemudahan kepada pengguna yang sebelum ini terpaksa ke salah satu gedung IKEA untuk membeli-belah.

“Ini juga salah satu usaha untuk membawa IKEA lebih dekat kepada pelanggan dengan membawa produk yang berfungsi dan mampu milik kepada lebih ramai pengguna di Pantai Timur,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×