Ford Ranger Platinum - Pengubah genre trak masa depan

Ford Ranger Platinum – Pengubah genre trak masa depan

ford
Ford Ranger Platinum - Pengubah genre trak masa depan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBERADAAN kenderaan jenis trak atau pikap selalunya menggambarkan kenderaan yang lasak, gagah, mempunyai kuasa tujahan yang sangat kuat untuk membolehkan penggunaan kenderaan seperti ini di laluan dalam hutan, berpasir atau yang berselut atau berlecak.

Namun, sejak akhir-akhir ini, kenderaan jenis trak sudah mula mengimplimentasikan sistem bantuan pemanduan elektronik seperti yang terdapat pada kenderaan-kenderaan moden masa kini, dalam setiap model-model terbaharu setiap tahun.

Ford juga tidak mahu ketinggalan untuk memasarkan kenderaan lasak ini, namun menyedari perubahan permintaan dalam pasaran iaitu selain mengekalkan kebolehan, rupa bentuk dan kegunaan unik sesebuah trak, mereka harus melakukan penambahan yang mampu mengubah senario biasa pasaran.

RUPA BENTUK FIZIKAL

Pertama sekali, lampu hadapan utamanya mengekalkan rekaan Ford Ranger iaitu mempunyai jalur LED berbentuk angkup atau huruf C sebagai lampu suluhan siang (Day Running Lights – DRL).

Jeriji atau gril hadapan Ranger Platinum mengadunkan konsep hitam mati (matte) pada jaringannya dan bingkai berwarna platinum sebagai melengkapkan imej teguh dan lasak. Logo Ford yang agak besar turut digunakan bagi menambah keberadaan trak ini.

Anda tidak akan terlepas pandang pada huruf P-L-A-T-I-N-U-M yang terbentang luas pada bahagian atas jerijinya. Keseluruhan saiz dan garisan-garisan casisnya menampakkan saiz yang agak besar, malah ia langsung tidak menyembunyikan faktor tersebut. Walaupun ia tampak hampir sama dengan trak-trak yang lain, tetapi beberapa ciri tambahan pada luaran Ranger Platinum bakal mengujakan peminat-peminat trak khasnya.

Ciri yang paling menarik perhatian saya ialah Ranger dibekalkan dengan penutup ruang tempat letak barangan di belakang. Ia menggunakan sistem rolling shutter, seperti jeriji pintu yang selalu digunakan oleh unit-unit kedai. Shutter ini boleh dibuka dan ditutup secara elektronik melalui tiga cara iaitu tombol suis di dalam kabin (di bahagian bawah stereng), tombol suis di bahagian belakang iaitu di dinding tepi ruang simpanan barangan dan pada unit alat penggera tanpa wayar yang juga berfungsi sebagai penggera dan pengunci pintu kenderaan.

Sebagai perbandingan, hampir semua trak jenama lain memerlukan pemiliknya menempah penutup ruang barangan secara tempahan khas, atau memilih untuk melindungi barangan daripada hujan dengan penggunaan kanvas.

Kebanyakan trak lain dalam pasaran mempunyai rak atau jaluran pengalas di kiri dan kanan bumbung untuk diletakkan barangan, tetapi Ranger Platinum didatangkan dengan landasan pengalas yang boleh dialihkan kedudukannya untuk melintang sekiranya perlu membawa barangan panjang seperti bot kecil atau kayak.

Begitu juga dengan rak yang terletak pada bahagian belakang, boleh digerakkan mengikut panjang barangan yang ingin diikat daripada bumbung tadi. Menggerakkan rak barangan di ruang belakang ini boleh lakukan dengan mekanisme pengunci yang menyerupai sebuah tuas brek atau klac motosikal.

Setelah selesai teruja dengan penambahan ciri-ciri tersebut, saya memanjat masuk ke dalam kabin dan merasakan reka bentuk kabin trak ini saling tak tumpah seperti sebuah kereta mewah. Penggunaan kulit hitam sebagai pembalut kusyennya sudah tentulah sebagai memenuhi permintaan tempatan yang mahukan tempat duduk berkulit sebagai lambang eksklusif.

Saya juga tertarik kepada skrin infotainmennya yang saya rasakan sama besar dengan papan skrin sebuah tablet. Dipasang secara menegak, bersaiz 12 inci yang turut dilengkapi dengan sistem Android Auto dan Apple Carplay. Sesungguhnya, sekiranya kenderaan baharu anda tidak mempunyai sistem penghubung peranti ini, ternyata anda sudah tersalah pilih kenderaan baharu anda.

Untuk sesebuah trak, kebolehan untuk menukar sistem pacuan adalah satu sebab utama kenapa kenderaan seperti ini dipilih. Ford Ranger Platinum sudah tentu mempunyai keupayaan tersebut, tetapi saya agak tertarik dengan tombol-tombol yang ringkas dan mudah, sama ada dengan hanya pemulasan tombol atau menekan suis. Pertukaran daripada pacuan dua ke empat roda, atau pacuan motor keempat-empat roda secara individu melalui suis khas untuk keadaan muka bumi yang pelbagai. Kesemua pilihan pacuan ini dilakukan secara elektronik, malah pemilihan penggunaan kotak gear juga secara automatik semudah sebuah kereta sedan biasa.

PEMANDUAN

Saya akui, pemanduannya tidak jauh beza daripada pandu uji kenderaan trak jenama lain yang pernah saya buat. Namun, saya harus mengakui betapa mudahnya pemanduan ataupengendalian Ford Ranger Platinum dan menjangkakan sesiapa sahaja boleh mengemudinya dengan baik, asal sahaja pemandunya dapat berkompromi saiznya yang dirasakan agak besar. ini kerana, ia menghadkan sedikit penglihatan anda pada bahagian depan disebabkan rangka hadapannya yang besar dan tinggi. Namun, kenderaan ini dibekalkan dengan sistem kamera 360 dan ini sangat membantu apabila anda harus melalui laluan-laluan sempit, atau keperluan memarkir kenderaan anda ditempat letak kereta yang sempit.

Menggunakan enjin 2.0L dengan biturbo, memberikan pemanduan dengan kuasa yang anda perlukan ketika memandu di jalan raya biasa. Walau merasakan ada sedikit ‘kelewatan’ dalam penghantaran kuasanya, terutama ketika hendak memotong kenderaan, tetapi tujahan yang diperlukan sampai tanpa perlu menukar gear secara manual ke gear yang lebih rendah. Berbekalkan 10 tahap kelajuan dengan kotak gear automatik, memerlukan anda melakukan sedikit ‘perancangan’ dalam pengurusan pedal pendikit anda.

KESIMPULAN

Mewah, kendalian baik, pemanduan ‘off-road’ yang boleh dikatakan pada tahap sederhana, dan sesuai untuk ditujukan kepada para pengusaha perniagaan logistik, kontraktor, atau para pemandu yang memilih trak hanya kerana minat.

Jika ada elemen yang perlu saya kritik pada kenderaan ini, saya harus mengatakan sistem hiburannya atau lebih tepat lagi pada corong audio berjenama Bang & Olufsen, gagal memberikan kepuasan pada halwa telinga saya, walaupun telah melakukan pelarasan pada sistem audio tersebut.

Harga jualannya iaitu RM183,888 tanpa cukai jalan, insurans dan kos pendaftaran saya rasakan amat berbaloi jika dilihat daripada ciri-ciri kemewahan yang disediakan, sistem bantuan pemanduan elektronik serta peralatan yang dibekalkan secara standard adalah aspek yang benar-benar menjadikan model engubah trend kenderaan trak masa kini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN