PETALING JAYA: Fajarbaru Builder Group Bhd. (Fajarbaru) melalui anak syarikat milik penuhnya, Fajarbaru Builder Sdn. Bhd. (FBSB) bersama-sama Avionics Pty Ltd (APL) memperoleh Fasa Penghantaran (Kerja Awal) kontrak daripada Jabatan Pertahanan Australia, dengan bahagian kontrak kumpulan bernilai RM11.04 juta.
Anugerah tersebut memperluaskan lagi penglibatan Fajarbaru dalam reka bentuk dan pembinaan projek infrastruktur untuk membangunkan semula kemudahan ketenteraan di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth, Pulau Pinang.
Melalui anugerah terbaharu ini, jumlah nilai kerja Fajarbaru untuk projek itu kini berjumlah RM23.34 juta setakat 15 Mac 2024.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Fajarbaru, Tan Sri Chan Kong Choy berkata, kerja awal yang berada di bawah fasa penghantaran projek bermula pada 18 Mac lalu dan dijadualkan siap pada 21 November 2024.
“Penganugerahan projek ini adalah satu lagi pengesahan kedudukan kami sebagai rakan kongsi yang dipercayai dalam projek infrastruktur kritikal,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, FBSB dan APL telah dianugerahkan Kontrak Utama (Antarabangsa) Dua Fasa daripada Jabatan Pertahanan Australia, untuk membangunkan semula kemudahan pajakan Australia dan kemudahan Malaysia di TUDM Butterworth.
Bagi fasa perancangan projek, bahagian kontrak Fajarbaru pada mulanya mempunyai nilai RM7.36 juta namun pada 11 Januari 2024, Fajarbaru mengumumkan jumlah nilai bahagian itu telah disemak kepada RM12.30 juta, mengambil kira kerja tambahan.
Jelas Kong Choy, penganugerahan ini adalah satu lagi pengesahan kedudukan mereka sebagai rakan kongsi yang dipercayai dalam projek infrastruktur kritikal.
“Kami percaya kami berada pada kedudukan yang baik untuk menyampaikan keputusan yang luar biasa, mempamerkan komitmen kami terhadap kecemerlangan dan keupayaan kami untuk memenuhi keperluan ketat Jabatan Pertahanan Australia,” katanya.
Dalam jangka masa panjang, beliau percaya bahawa projek ini akan menjadi penyumbang
penting kepada pendapatan kami.
“Kami terus mencari peluang untuk mengembangkan lagi penglibatan kami dalam projek ini, dengan membida lebih banyak pakej dengan tumpuan pada perniagaan nilai tambah dan rundingan,” katanya. – UTUSAN










