PETALING JAYA: Esentiq Pharma Sdn. Bhd. (Esentiq Pharma) berhasrat memberi tumpuan kepada pemasaran farmasuetikal untuk mengetengahkan farmasi dan meningkatkan ekuiti pemasaran bumiputera di Malaysia.
Pengarah Urusannya, Syed Najib Syed Mustaffa berkata, buat masa ini, syarikat farmasi bumiputera tidak banyak terlibat di dalam industri farmasuetikal.
“Di Malaysia, sebanyak 80 peratus pemasaran farmasi di Malaysia dipelopori oleh bukan bumiputera seperti Big Pharmacy, Guardian, Alpro Pharmacy dan banyak lagi,” katanya ketika ditemui di Kelana Bisness Centre, baru-baru ini.
Jelas Syed, penglibatan bumiputera di dalam farmasuetikal itu hanyalah di peringkat ejen sahaja.
“Saya melihat perkara ini sebagai satu masalah kepada bumiputera kita dan di mana arah tuju penglibatan mereka di dalam industri ini.
“Justeru, saya berharap syarikat bumiputera dalam industri dapat bekerja sebagai satu kumpulan untuk menjayakan perkara ini. Kita sebenarnya mampu berdiri setanding dengan syarikat farmaseutikal besar yang lain.
“Pihak kerajaan perlu melibatkan pemain industri sebenarnya yang mempunyai latar belakang lengkap di dalam apa jua dasar bagi sesuatu industri, terutama industri farmaseutikal,” ujarnya.
Mengulas lanjut perancangan tahun ini, beliau berkata, Esentiq Pharma telah memasarkan produknya sebanyak 60 peratus di klinik swasta dan farmasi.
“Tahun ini kita sudah meneroka untuk memasuki pasaran rantaian farmasi seperti Big Pharmacy, Alpro Pharmacy dan beberapa lagi,” katanya.
Katanya, Essentiq Pharma turut mengedarkan produknya kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Pharmaniaga dan Biotropic Malaysia Berhad.
Selain itu, katanya, Essentiq Pharma juga dalam usaha untuk mengeluarkan produknya sendiri tanpa perlu bergantung kepada syarikat lain.
“Kita dalam perancangan untuk mengeluarkan produk sendiri dan perlu meneroka bahagian perkilangan juga sebagai langkah kedua,” katanya.-UTUSAN










