Dagangan borong, runcit cecah RM142.4b pada Januari - Utusan Malaysia

Dagangan borong, runcit cecah RM142.4b pada Januari

PERDAGANGAN borong dan runcit Malaysia merekodkan pertumbuhan pada Julai. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan berjumlah RM142.4 bilion, meningkat 5.4 peratus tahun ke tahun pada Januari 2024, kata Jabatan Perangkaan.

Bagaimanapun, bagi perbandingan bulanan, nilai jualan jatuh 1.1 peratus berbanding Disember 2023.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan sebanyak 5.4 peratus tahun ke tahun bagi dipacu oleh subsektor perdagangan borong yang meningkat 5.5 peratus atau RM3.3 bilion kepada RM63.7 bilion.

Katanya, kenderaan bermotor juga berkembang dengan mencatatkan 16.0 peratus atau RM2.4 bilion kepada RM17.6 bilion, diikuti oleh perdagangan runcit dengan pertumbuhan 2.6 peratus atau RM1.5 bilion untuk berada pada RM61.1 bilion.

“Bagi perbandingan bulanan, pertumbuhan negatif iaitu jatuh 1.1 peratus berbanding bulan sebelumnya adalah disebabkan oleh perdagangan runcit yang menurun 2.1 peratus, diikuti oleh subsektor kenderaan bermotor yang menguncup 5.1 peratus.

“Sebaliknya, subsektor perdagangan borong merekodkan pertumbuhan positif sebanyak 1.2 peratus pada bulan ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Melihat kepada prestasi mengikut subsektor, Mohd. Uzir berkata, pertumbuhan 5.5 peratus tahun ke tahun bagi perdagangan borong pada bulan ini disumbangkan oleh lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat 8.3 peratus kepada RM24 bilion.

“Ini diikuti jualan borong makanan, minuman dan tembakau (4.6 peratus), jualan borong barangan isi rumah (2.9 peratus), jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (4.2peratus), dan jualan borong jentera, peralatan dan bekalan (4.5 peratus).

“Turut termasuk adalah perdagangan borong tanpa pengkhususan (4.3 peratus) dan jual borong berdasarkan kontrak atau yuran (2.1 peratus),” ujarnya.

Bagi perbandingan bulanan, beliau berkata, perdagangan borong kembali mencatatkan pertumbuhan positif iaitu 1.2 peratus.

Ini terutamanya disumbangkan oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau (6.7 peratus), jualan borong barangan isi rumah (2.0 peratus), lain-lain pengkhususan jualan borong (0.6 peratus) dan perdagangan borong tanpa pengkhususan (0.6 peratus),” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai subsektor kenderaan bermotor, Mohd Uzir berkata, kenaikan 16.0 peratus tahun ke tahun pada Januari dipacu oleh jualan kenderaan bermotor yang melonjak 20.9 peratus atau RM1.6 bilion untuk merekodkan RM9.3 bilion.

“Ini diikuti oleh jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor (11.9 peratus), penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (12.4 peratus) dan jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal (5.4 peratus).

“Sebaliknya, bagi perbandingan bulanan, subsektor ini menguncup 5.1 peratus disebabkan oleh jualan kenderaan bermotor yang merudum 11.3 peratus,” katanya.

Mohd Uzir berkata, pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 2.6 peratus bagi subsektor perdagangan runcit disokong oleh jualan runcit di kedai pengkhususan yang tumbuh 4.9 peratus atau RM0.6 bilion kepada RM12.9 bilion.

Jelasnya, kumpulan lain dalam subsektor ini turut merekodkan pertumbuhan positif iaitu jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (2.2 peratus), jualan runcit barangan isi rumah (3.3 peratus) dan jualan runcit makanan, minuman dan tembakau (6.2 peratus).

“Antara lain adalah jualan runcit bahan api kenderaan (1.0 peratus), jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi (1.1 peratus), jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar
(0.7 peratus) dan jualan runcit di gerai dan pasar (2.0 peratus).

Walau bagaimanapun, bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini merosot 2.1 peratus, disebabkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (-2.5 peratus), jualan
runcit di kedai pengkhususan (-2.5 peratus) dan jualan runcit barangan isi rumah (-2.2 peratus),” tambahnya.

Bagi indeks jualan runcit melalui internet, beliau berkata, indeks ini jatuh -1.6 peratus tahun ke tahun pada Januari 2024 berbanding -0.4 peratus pada Disember 2023.

“Namun demikian, bagi nilai pelarasan musim, indeks ini menokok 0.5 peratus berbanding
bulan sebelum.

“Beralih kepada indeks volum, perdagangan borong dan runcit pada Januari 2024 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 3.5 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×