BNM jangka inflasi 2024 pada 2.0 peratus hingga 3.5 peratus - Utusan Malaysia

BNM jangka inflasi 2024 pada 2.0 peratus hingga 3.5 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan inflasi negara berada pada paras 2.0 peratus hingga 3.5 peratus pada tahun ini, didorong oleh tekanan kos yang terkawal berikutan keadaan bekalan global yang semakin reda.

Gabenor, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, prospek inflasi kekal tinggi tertakluk pada risiko inflasi yang meningkat.

“Ia disebabkan oleh potensi pelarasan harga terhadap barangan makanan dan tenaga serta tekanan luaran daripada kadar pertukaran dan perkembangan harga komoditi global,” ujarnya ketika Persidangan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023, hari ini.

Beliau berkata, kadar pertumbuhan inflasi yang meningkat juga didorong terutamanya oleh impak pelaksanaan dasar domestik, berikutan subsidi bersasar dan kawalan harga.

Sementara itu, menurut laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023, inflasi keseluruhan tahun ini dijangka kekal sederhana berikutan tekanan kos yang terkawal.

“Prospek inflasi kekal amat bergantung pada risiko peningkatan disebabkan oleh faktor dasar dalam negeri dan pengaruh luaran. Di dalam negeri, potensi pelarasan harga barangan keperluan akan mendorong kenaikan harga barangan yang terlibat, terutamanya barangan yang berkaitan dengan tenaga dan makanan.

“Yang ketara, prospek inflasi bergantung pada kemungkinan pelarasan terhadap subsidi bahan api secara menyeluruh. Berikutan bahagian bahan api yang besar dalam kumpulan Indeks Harga Pengeluar (IHP), pelarasan harga bahan api akan secara langsung menyebabkan kenaikan inflasi keseluruhan.

“Kesan langsung daripada pelarasan harga bahan api sekali sahaja ini dijangka luput dalam tempoh setahun apabila kesan asas berkurang,” menurut laporan.

Walau bagaimanapun, tahap risiko kenaikan inflasi akan bergantung pada kesan pindahan (knock-on effects) pelarasan dasar, iaitu syarikat menaikkan harga untuk menampung kenaikan kos, lantas menyebabkan tekanan harga yang lebih meluas pada barangan lain.

Selain itu, dinamik upah-harga juga boleh mewujudkan risiko kebarangkalian yang kecil terhadap inflasi (tail risk to inflation), meskipun risiko kesan pusingan kedua sedemikian dinilai sebagai kecil di Malaysia kerana kenaikan gaji adalah selaras dengan pertumbuhan produktiviti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN