TEL AVIV: Kos peperangan Israel di Gaza, Lubnan, Syria dan Iran sejak 7 Oktober 2023 dilaporkan mencecah hampir AS$205 bilion (RM840 bilion).
Jumlah itu didedahkan dalam laporan yang ditulis oleh seorang ahli ekonomi, Nir Goldberg dan diterbitkan oleh Zman Yisrael, laman berita edisi bahasa Ibrani akhbar dalam talian The Times of Israel.
Zman Yisrael menilai kesan ekonomi konflik tersebut terhadap kewangan awam, kerugian pengeluaran dan bantuan ketenteraan Amerika Syarikat (AS).
Menurut data Bank Israel yang dipetik dalam laporan itu, perbelanjaan Israel berkaitan peperangan telah melebihi AS$118 bilion (RM483 bilion).
Daripada jumlah itu, perbelanjaan pertahanan menyumbang sekitar AS$71.2 bilion (RM291.6 bilion), manakala bayaran pampasan mencecah AS$9.6 bilion (RM39 bilion), pelbagai perbelanjaan awam AS$16.7 bilion (RM68 bilion) dan kos faedah berkaitan peningkatan hutang awam sebanyak AS$5.5 bilion (RM22.5 bilion).
Laporan itu juga menganggarkan nilai senjata, peluru dan peralatan ketenteraan yang dibekalkan AS kepada Israel berjumlah sekitar AS$26 bilion (RM106 bilion).
Beban ekonomi itu tidak terhad kepada perbelanjaan kerajaan semata-mata. Laporan itu menganggarkan kerugian pengeluaran ekonomi Israel antara Oktober 2023 hingga penghujung 2025 mencecah sekitar AS$51.9 bilion (RM212 bilion).
Mengambil kira perkembangan sepanjang 2026, laporan itu menjangkakan jumlah kerugian tersebut boleh melebihi AS$58.6 bilion (RM239 bilion).
Menurut laporan itu, apabila digabungkan perbelanjaan kerajaan, bantuan ketenteraan AS dan kerugian pengeluaran, jumlah keseluruhan kos ekonomi konflik berkenaan mencecah hampir AS$205 bilion.
Bagaimanapun, pengiraan itu tidak merangkumi kerugian individu yang tidak ditanggung kerajaan atau keseluruhan kerugian sektor swasta, sekali gus menunjukkan beban sebenar mungkin lebih tinggi jika konflik berterusan.
Laporan itu turut menyatakan peningkatan perbelanjaan awam menyebabkan cukai dinaikkan, kos sara hidup meningkat dan memberi tekanan khusus kepada perusahaan kecil dan sederhana.
Menurut laporan itu, konflik yang bermula sejak 7 Oktober 2023 merupakan tempoh peperangan paling mahal dalam sejarah Israel dari sudut ekonomi, dengan kesannya dijangka berlarutan selama bertahun-tahun.– AGENSI










