PETALING JAYA: Bursa Malaysia Derivatives Bhd. (BMD) memulakan dagangan kontrak Niaga Hadapan Minyak Kacang Soya (FSOY), kontrak hadapan minyak makan bukan berasaskan sawit pertama yang disenaraikan di bursa.
Ia susulan perjanjian yang ditandatangani dengan Bursa Komoditi Dalian (DCE) untuk pelesenan harga penyelesaian niaga hadapan minyak kacang soya yang diumumkan pada November 2023.
Pengerusi BMD dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd., Datuk. Muhamad Umar Swift berkata, pihaknya berbesar hati menjadi bursa pertama di luar China yang diberikan lesen untuk memasukkan harga penyelesaian niaga hadapan komoditi DCE ke dalam penawaran produk.
“Selain kontrak niaga hadapan sedia ada, peserta pasaran kini boleh memanfaatkan FSOY sebagai alat pengurusan risiko untuk lindung nilai daripada turun naik harga semasa dan pasaran serta kerumitan pasaran antarabangsa yang berubah-ubah,” katanya.
BMD ialah pengendali kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah paling cair di dunia, manakala DCE mengendalikan kontrak niaga hadapan minyak kacang soya paling cair di dunia.
Pada 2023, Kontrak Niaga Hadapan Minyak Kacang Soya DCE ialah kontrak niaga hadapan minyak kacang soya yang paling banyak diniagakan di seluruh dunia, dengan 204 juta kontrak didagangkan.
Sementara itu, Pengarah BMD, Mohd. Saleem Kader Bakas berkata, pelancaran itu tepat pada masanya, memandangkan dinamik perkembangan penggunaan minyak kacang soya sebagai minyak masak dan bahan mentah untuk biofuel.
“FSOY membenarkan pedagang antarabangsa menyertai dagangan niaga hadapan minyak kacang soya berdasarkan asas pasaran China, pada masa yang sama menyediakan kelonggaran untuk berdagang niaga hadapan minyak sawit mentah di bursa yang sama,” ujarnya.
FSOY ialah kontrak penyelesaian tunai dalam denominasi dolar AS (AS$), dengan harga penyelesaian akhir dikira berdasarkan harga penyelesaian penghantaran sekali sahaja Kontrak Hadapan Minyak Kacang Soya DCE pada hari dagangan ke-10 DCE pada bulan penghantaran.
BMD menjelaskan, harga kemudiannya diselaraskan untuk penukaran daripada Renminbi kepada AS$ dan dibundarkan kepada AS$0.25 terdekat.
“Pelarasan ini membolehkan peniaga antarabangsa dan pengeksport produk kacang soya fizikal ke China melindung nilai risiko harga mereka dengan berkesan menggunakan kontrak itu,” katanya.
Peserta pasaran boleh berdagang FSOY semasa sesi dagangan pagi dan petang (9 pagi hingga 6 petang, Isnin hingga Jumaat) dan sesi dagangan selepas waktu (T+1) (9 malam hingga 11.30 pagi, Isnin hingga Khamis).
Untuk maklumat lanjut tentang kontrak FSOY, lawati https://bit.ly/fsoy. – UTUSAN










