TNB gerak inisiatif eletrifikasi kenderaan syarikat

TNB gerak inisiatif eletrifikasi kenderaan syarikat untuk masa depan lestari

BAHARIN DIN dan kepimpinan TNB bergambar di hadapan armada elektrik baharu, simbol komitmen TNB yang tidak berbelah bahagi untuk eletrifikasi 30 peratus daripada armada operasinya menjelang 2030.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempercepatkan peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) dalam komitmen elektrifikasi 30 peratus daripada kenderaan operasinya menjelang 2030.

Pendekatan itu melalui penggunaan 98 unit EV baharu merangkumi 78 trak pikap elektrik dan 20 van elektrik, menjadikan jumlah keseluruhan EV dalam armada TNB kepada 127 buah.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Baharin Din berkata, usaha itu sebagai sebahagian strategi pengurangan karbon secara menyeluruh selaras aspirasi Malaysia neutral karbon menjelang 2050.

“TNB menyasarkan untuk menggantikan 30 peratus iaitu lebih 1,000 kenderaan kepada EV menjelang 2030 dan menyumbang secara signifikan kepada sasaran kerajaan mencapai 20 peratus jualan EV menjelang 2030, selaras Dasar Automotif Kebangsaan (NAP) 2020,” katanya dalam kenyataan.

Jelas beliau, langkah itu menjadi dorongan untuk mencapai Sifar Bersih 2050 melalui amalan mampan dalam operasi TNB.

Menurut Baharin, TNB mengunjurkan mampu menghasilkan pengurangan tahunan sebanyak 2,200 hingga 4,833 tan CO2, bersamaan dengan 88,000 hingga 193,320 pokok sebagai pengimbang menjelang 2030.

Dalam pada itu, katanya, usaha berkenaan membantu dalam penjimatan kos antara 35 hingga 86 peratus untuk pembaikan dan penyelenggaraan, manakala 25 hingga 70 peratus kos tenaga lebih rendah berbanding kenderaan bahan api fosil konvensional.

“TNB  juga menjangkakan pengimbangan tahunan kira-kira 6 hingga 12 peratus dalam perbelanjaan bahan api fosil,” ujarnya.

Sehubungan itu, inisiatif tersebut akan diberi tumpuan awal di Lembah Klang dan Langkawi, sejajar dengan matlamat kelestarian dan menyokong visi masing-masing menjadi negeri dan bandar yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Baharin berkata, TNB turut memberi tumpuan kepada peningkatan semula kemahiran untuk industri EV dengan membina infrastruktur pengecasan, menaja kajian berkaitan EV, dan memupuk kerjasama dalam  kalangan pemain sektor EV.

“TNB merancang memperluas infrastruktur pengecasan EV kepada lebih 500 stesen pengecasan pada 2025 di seluruh negara sebagai sokongan kepada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR),” katanya.

Ujarnya, usaha itu juga selaras dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), sekaligus menyokong Pelan Peralihan Tenaga TNB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×