PETALING JAYA: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) Datuk Aminuddin Md. Desa diperintah membayar RM2.46 juta kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) selepas kalah saman sivil berkaitan dagangan orang dalaman yang difailkan pada 2021.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Wan Muhammad Amin Wan Yahya turut memerintahkan Aminuddin yang juga bekas CEO Perak Corporation Bhd. (PCB) membayar penalti sivil kepada SC sebanyak RM1 juta dan kos sebanyak RM100,000.
Bayaran RM2.46 juta itu adalah tiga kali ganda keuntungan yang diperoleh hasil daripada pelanggaran dagangan orang dalam.
Menurut kenyataan SC, Aminuddin telah melanggar Seksyen 188(2)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhimatan 2007 (CMSA) dengan memperoleh 1,412,700 saham PCB antara Oktober 2013 dan Januari 2014 semasa dalam pemilikan maklumat dalaman.
“Maklumat dalaman tersebut adalah mengenai cadangan penswastaan PCB dan PKNP,” katanya.
Katanya, dalam keputusan hari ini, Mahkamah Tinggi turut melarang Aminuddin daripada dilantik sebagai Ketua Pengarah Eksekutif atau Pengarah atau terlibat dalam pengurusan syarikat tersenarai awam (PLC) dan atau anak syarikat PLC, selama lima tahun bermula dari tarikh keputusan mahkamah pada 13 Februari 2024.
Beliau juga dihalang daripada melakukan sebarang aktiviti dagangan dalam mana-mana sekuriti di Bursa Malaysia selama lima tahun bermula dari tarikh sama.
“Dagangan orang dalam adalah salah laku yang serius dalam pasaran modal. Penguatkuasaan berterusan oleh SC menggariskan komitmennya untuk menangani salah laku dalam menyalahgunakan integriti pasaran modal,” jelas SC. – UTUSAN










