Ringgit dijangka kekal lemah minggu ini - Penganalisis Ekonomi

Ringgit dijangka kekal lemah minggu ini – Penganalisis Ekonomi

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tren kejatuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dijangka berterusan minggu ini, disebabkan oleh kestabilan ekonomi semasa ASi, kata penganalisis ekonomi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohamad Khair Afham Muhamad Senan berkata, beliau menjangkakan ringgit kekal lemah dan mengalami penurun, namun tidak terlalu drastik.

Pada minggu lalu, ringgit ditutup pada RM4.78 berbanding dolar AS daripada RM4.76 semasa ditutup pada Khamis, sebelumnya.

Beliau berkata, pada minggu lepas, AS telah mengeluarkan laporan mengenai tahap pengangguran yang berada bawah  jangkaan penganalisis dan perkembangan itu akan mengukuhkan lagi sentimen terhadap ekonomi negara terbabit.

“AS juga menunjukkan kestabilan dari sudut pasaran saham di mana indeks S&P 500  melebihi tahap 5000 mata pada minggu lepas, iaitu rekod terbaharu mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohamad Khair berkata, perkara itu turut memberikan kesan kepada prestasi semasa ringgit.

Beliau berpandangan, trend kejatuhan ringgit dijangka akan berterusan dalam jangka masa panjang sekiranya sentimen terhadap ekonomi Malaysia masih sama.

Mengenai prestasi ringgit yang makin lemah berbanding dolar Singapura, beliau berkata, mekanisme dasar kewangan Malaysia dan Singapura sangat berbeza.

“Kita menggunakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi mencapai matlamat ekonomi dan membiarkan kadar mata wang  asing ditentukan oleh pasaran.

“Manakala, Singapura menggunakan kadar tukaran wang asing bagi mencapai matlamat ekonomi dan kadar faedah mereka ditentukan oleh pasaran, ini jelas berbeza” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×