PETALING JAYA: Prestasi nilai kerja pembinaan pada 2023 berjumlah RM132.2 bilion, tumbuh sebanyak 8.8 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Pada tahun tersebut, semua subsektor mengalami peningkatan dengan aktiviti Kejuruteraan awam meningkat ketara sebanyak 15.7 peratus, diikuti Aktiviti pertukangan khas (8.5 peratus), bangunan kediaman (3.7 peratus) dan Bangunan bukan kediaman (3.1 peratus), katanya.
Bagi suku keempat 2023, nilai kerja pembinaan berjumlah RM34.1 bilion, peningkatan 6.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, peningkatan diperkukuh oleh pertumbuhan lebih pesat dalam subsektor kejuruteraan awam yang melonjak sebanyak 18.0 peratus.
Beliau berkata, subsektor bangunan kediaman dan aktiviti pertukangan khas pula berkembang pada kadar lebih perlahan masing-masing pada 2.3 peratus dan 0.3 peratus.
“Sebaliknya, subsektor bangunan bukan kediaman mengalami penurunan 1.9 peratus,” katanya dalam laporan Statistik Pembinaan Suku Tahunan Malaysia Suku Keempat 2023, semalam.
Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, daripada jumlah RM34.1 bilion itu, sebanyak 41.9 peratus atau RM14.3 bilion adalah dalam kejuruteraan awam, terutama bagi aktiviti pembinaan jalan raya dan landasan kereta api sebanyak RM7.5 bilion dan pembinaan projek utiliti (RM5.2 bilion).
Katanya, nilai kerja untuk bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman pula masing-masing berjumlah RM9.5 bilion (27.7 peratus) dan RM7.1 bilion (20.9 peratus).
“Sementara itu, aktiviti pertukangan khas menyumbang sebanyak RM3.3 bilion (9.6 peratus), terutamanya dalam aktiviti pemasangan elektrik (RM1.1 bilion), pemasangan paip, pemanasan, dan penghawa dingin (RM0.7 bilion) serta penyediaan tapak (0.7 bilion),” katanya.
Mengenai prestasi sektor pembinaan mengikut pemilik projek, Mohd. Uzir berkata, sektor swasta terus menjadi penyumbang utama dengan nilai kerja sebanyak RM20.3 bilion atau 59.5 peratus.
Walau bagaimanapun, pertumbuhan menyederhana kepada 1.4 peratus berbanding 8.6 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.
“Sebaliknya, sektor awam dengan sumbangan sebanyak 40.5 peratus atau RM13.8 bilion, mengekalkan pertumbuhan dua digit yang kukuh sebanyak 15.9 peratus selepas mencatatkan 10.9 peratus pada suku ketiga 2023 disokong oleh pertumbuhan ketara 26.6 peratus dalam aktiviti kejuruteraan awam,” jelasnya.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, hampir 60.3 peratus daripada nilai kerja pada suku keempat 2023 tertumpu di Selangor, Wilayah Persekutuan termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, Sarawak serta Johor.
Nilai kerja pembinaan di Selangor berjumlah RM8.6 bilion atau 25.1 peratus, dengan sumbangan terbesar daripada Kejuruteraan awam RM3.5 bilion, diikuti bangunan kediaman dan Bangunan bukan kediaman, kedua-duanya bernilai RM2.1 bilion.
Wilayah Persekutuan di tempat kedua dengan jumlah RM4.0 bilion atau 11.8 peratus, terutamanya dalam aktiviti bangunan bukan kediaman (RM1.5 bilion) dan bangunan kediaman (RM1.4 bilion)
“Sarawak dan Johor kedua-duanya mencatatkan nilai kerja sebanyak RM4.0 bilion,” katanya. – UTUSAN










