Pasaran buruh menggalakkan pada suku keempat 2023

Pasaran buruh menggalakkan pada suku keempat 2023

DESTINASI yang menarik dijangka menarik pelancong ke Malaysia.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Situasi pasaran buruh yang menggalakkan pada suku tahun keempat 2023, berikutan kadar pengangguran kembali ke paras pra pandemik iaitu 3.3 peratus, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, permintaan dalam negeri yang lebih tinggi telah mewujudkan persekitaran yang menggalakkan kepada industri, menyebabkan peningkatan dalam pengeluaran yang disebabkan oleh pengembangan ekonomi hampir di semua sektor.

Katanya, ini menyumbang kepada permintaan buruh yang lebih kukuh meskipun dengan persekitaran luaran yang mencabar.

“Oleh itu, ekonomi Malaysia berkembang 3.0 peratus pada suku keempat 2023, lebih rendah daripada pertumbuhan 3.3 peratus pada suku sebelumnya.

“Mencerminkan perkembangan ekonomi yang bertambah baik sepanjang suku tahun tersebut, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) meningkat 0.6 mata peratus tahun ke tahun, mengekalkan kadar tertinggi iaitu 70.1 peratus berbanding suku sebelumnya,” katanya dalam Sorotan Pasaran Buruh, Suku Tahun Keempat 2023 di sini, semalam.

Menurutnya, bilangan tenaga buruh bertambah 2.2 peratus untuk merekodkan 16.91 juta orang pada suku keempat 2023, terutamanya didorong oleh kenaikan 2.5 peratus dalam penduduk bekerja, yang merangkumi 16.35 juta orang.

Sebaliknya, beliau berkata, bilangan penganggur berkurang 5.9 peratus kepada 565,000 orang, menjadikan kadar pengangguran negara pada 3.3 peratus, menunjukkan hampir kembali ke paras pra pandemik (ST4 2022: 3.6 peratus, ST4 2019: 3.2 peratus).

Mengulas kepada situasi guna tenaga tidak penuh, Mohd. Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu mencatatkan pertambahan 6.6 peratus berbanding suku yang sama pada tahun 2022, dengan sejumlah 286,100 orang.

“Sehubungan itu, bilangan guna tenaga tidak penuh berkaitan masa meningkat 8.5 peratus kepada 181.6 ribu orang, dengan kadar 1.1 peratus,” ujarnya.

Dari sudut pandangan permintaan buruh pada suku keempat 2023, Mohd Uzir memaklumkan, jawatan dalam sektor ekonomi mencatatkan peningkatan 2.1 peratus kepada 8.94 juta jawatan berbanding tahun lepas.

“Sementara itu, peluang pekerjaan dalam ekonomi yang ditunjukkan oleh bilangan kekosongan yang menyumbang 2.1 peratus daripada jawatan, berkurang 1.1 peratus kepada 190,200 kekosongan, sebahagian besarnya dalam sektor pembuatan yang menyumbang 108,000 kekosongan jawatan (56.8 peratus).

“Permintaan buruh di Malaysia terus bertambah baik pada suku ini ditunjukkan oleh pertumbuhan 0.6 peratus dalam bilangan pewujudan jawatan untuk memenuhi keperluan industri, merangkumi 31.1 ribu jawatan,” jelasnya.

Melangkah ke tahun 2024, beliau berkata, ekonomi Malaysia dijangka bertambah baik didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan pemulihan permintaan luaran.

“Dalam keadaan tersebut, pasaran buruh dijangka kekal stabil pada suku akan datang, selari dengan perkembangan ekonomi semasa dan kemajuan teknologi yang terhasil daripada

pelaburan bernilai tinggi yang disokong oleh inisiatif kerajaan yang berterusan.

“Dengan pendekatan proaktif untuk menangani cabaran dan memanfaatkan peluang, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mengekalkan momentumnya dan memupuk pertumbuhan inklusif bagi semua segmen masyarakat.

“Namun begitu, prospek itu tertakluk kepada potensi cabaran global dan domestik serta trend pasaran yang berubah-ubah berpunca daripada situasi luar jangka yang mungkin berlaku pada masa hadapan,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya