PETALING JAYA: Penggiat industri pelancongan negara perlu memanfaatkan nilai ringgit yang rendah berbanding dolar AS, bagi menarik kedatangan lebih ramai pelancong dengan mempergiatkan promosi di luar negara terutama China.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Eksekutif Inbound Tourism Alliance, Uzaidi Udanis berkata, kejatuhan nilai ringgit berbanding kebanyakan mata wang utama dunia, sebenarnya satu `kelebihan’ untuk menarik lebih ramai pelawat seterusnya membantu negara mencapai sasaran lebih 7 juta pelancong tahun ini.
Sehubungan itu katanya, usaha mempromosikan Malaysia perlu dibuat secara lebih agresif, terutama membabitkan kawasan-kawasan tarikan utama di dalam negara.
“Penggiat industri perlu agresif dalam promosi termasuk menggunakan pelbagai platform media sosial. Saya percaya, rakyat Malaysia juga boleh bertindak ‘ejen pelancong’ untuk menarik lebih ramai pelancong asing melawat Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kerajaan menyasarkan ketibaan 7 juta pelancong tahun ini berbanding sekitar 3 juta yang dicatatkan semasa negara dilanda wabak Covid-19.
Bagi mencapai sasaran itu, kerajaan turut memperkenalkan visa percuma kepada pelawat dari China dan India.
Mengulas lanjut, Uzaidi berkata, selain dua negara terbabit, pemain industri juga perlu lebih agresif mempromosikan Malaysia di Asia Barat dengan memanfaatkan status Malaysia sebagai negara Islam.
Beliau turut berkongsi usaha dilakukan Inbound Tourisam Alliance bagi menarik kedatangan pelawat dari rantau berkenaan menerusi pertemuan dengan 40 ejen pelancongan di Asia Barat termasuk jalinan perniagaan ke perniagaan (B2B).
Pada minggu lalu, ringgit ditutup pada RM4.78 berbanding dolar AS daripada RM4.76 semasa ditutup pada Khamis.
Sementara itu, Setiausaha Agung, Persatuan Kampungstay dan Homestay Malaysia, Mistam Taib berharap, penggiat industri pelancongan dapat bekejasama dengan pihaknya untuk mempromosikan negara di peringkat antarabangsa.
“Kami yakin dengan gabungan kerjasama ini akan meningkatkan sektor pelancongan Malaysia terutama bagi menarik lebih ramai pelancong tinggal di inap desa dan Kampung stay,” katanya. – UTUSAN










