PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2023 dijangka pada kadar 3.4 hingga 3.6 peratus, menurut pakar ekonomi.
Unjuran itu dilihat selari dengan anggaran awalan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menganggarkan KDNK suku keempat pada kadar 3.4 peratus.
Jangkaan itu lebih tinggi sedikit berbanding 3.3 peratus yang dicatatkan pada suku ketiga.
Mengambil kira pertumbuhan KDNK suku pertama, kedua dan ketiga serta sembilan bulan pertama 2023, pakar ekonomi menjangkakan ekonomi negara akan tumbuh sekitar 3.9 peratus untuk sepanjang tahun lalu.
Penganalisis Ekonomi UNIKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpandangan, penurunan sektor eksport negara pada Disember 2023 yang dibayangi ekonomi global yang semakin perlahan, merupakan cabaran kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Kata beliau, kemerosotan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) pada Disember 2023 berbanding 2022, turut mempengaruhi prestasi ekonomi negara tahun lalu dan semasa.
“Kemerosotan IPI sedikit membimbangkan dengan sektor perkilangan turut susut 1.4 peratus terutama barangan untuk eksport yang susut 4.1 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Aimi Zulhazmi bagaimanapun berpandangan, ekonomi negara dijangka terus mengalami pertumbuhan pada suku pertama tahun ini dengan unjuran KDNK sekitar 3.5 hingga 3.8 peratus seterusnya membolehkan Malaysia mencapai sasaran KDNK 4.5 hingga 5.5 peratus.
Namun katanya, negara tetap berdepan cabaran untuk mencapai unjuran tersebut susulan krisis geopolitik di Eropah dan Asia Barat, selain krisis pasaran kewangan dan kemungkinan kemunculan varian virus baharu yang bakal mempengaruhi pertumbuhan ekonomi global.
“Justeru, cabaran kepada kerajaan adalah untuk menstruktur semula ekonomi negara, disebabkan ketidaktentuan ekonomi dunia,” katanya.
Bagi Profesor di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah pula, beliau menjangkakan KDNK suku keempat tumbuh sekitar 3 peratus, manakala untuk sepanjang tahun 2023 KDNK dijangka sekitar 4 peratus.
Kata beliau, pada 2023, ekonomi dunia menunjukkan prestasi yang positif dengan permintaan barangan meningkat termasuk, ekonomi domestik yang menggalakkan didorong terutama oleh sektor pelancongan, makanan dan minuman (F&B) dan perhotelan.
“Pertumbuhan pelancongan meningkat didorong oleh kemasukan pelancong dari China yang turut mendorong kenaikan sektor-sektor berkaitan. Semua ini mendorong kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Mengenai sasaran KDNK 2024, beliau berkata, sekiranya ringgit kembali stabil dan inflasi pula dapat diturun, ia akan membantu ekonomi berdaya tahan dan kekal mencatatkan pertumbuhan.
“Bagaimanapun, pertumbuhan turut dipengaruhi oleh perkembangan geopolitik antarabangsa dan kesan turun naik faedah di AS,” jelas beliau. – UTUSAN










